DALAM tempoh kurang tiga tahun, usahawan hebat ini mampu membina empayar perniagaan sendiri menerusi jenama Penawar Zauq yang kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat tempatan.

Menawarkan hampir 20 produk terapi untuk kesihatan seisi keluarga, siapa sangka Hamizah Azemi, 33, terpaksa berdepan pelbagai cabaran untuk berjaya di tahap sekarang.

Selain pernah membuka gerai kecilan-kecilan, bekas guru Kelas Fardhu Ain (Kafa) ini juga pernah bercucuk tanam untuk memasarkan cendawan tiram serta turut berkecimpung dalam bidang penternakan cacing dan lintah yang pernah menjadi trend usahawan tempatan sebelum ini.

Menurut Hamizah, minatnya dalam perniagaan sangat mendalam, malah bermula sejak kecil lagi. Katanya, seawal usia 9 tahun dia pernah menjual alat tulis kepada rakan-rakan sekolahnya.

Hasil jualan yang diterima mendorongnya untuk terus berniaga dan ketika berada di tingkatan satu, dia sanggup bangun seawal pagi untuk memasak nasi lemak dan menjualnya di sekolah.

"Kebetulan pula, suami saya juga mempunyai minat yang sama dan dia sering menyokong apa sahaja perniagaan yang diusahakan. Kami bersama-sama merasai pahit getir dan jatuh bangun dalam perniagaan.

"Ketika berniaga di pasar malam, kami pernah mendapat keuntungan hanya RM30 untuk satu malam. Duit itu jugalah yang digunakan untuk mengisi minyak. Tapi kami tak pernah putus asa dan sentiasa berusaha untuk mencuba pelbagai perniagaan sehingga berjaya," katanya yang turut mendapat sokongan keluarga.

Hamizah berkata, ilham untuk menghasilkan produk sendiri tercetus dari pengalamannya untuk mendapatkan zuriat setelah 11 tahun mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Mohd Muhyidin, 37.

Katanya, pelbagai ikhtiar dilakukan sehinggalah dia nekad menghasilkan produk set kehamilan dan menjadi testimoni untuk produk sendiri. "Alhamdulillah, saya akhirnya dikurniakan cahaya mata dan ia  mula memberikan keyakinan untuk saya mengetengahkan produk ini kepada orang ramai.

"Sambutan yang diterima juga sangat menggalakkan. Dari pelanggan biasa yang berkongsi testimoni, ramai yang mahu menjadi ejen dan stokis.

"Dari situlah, saya semakin yakin dengan Penawar Zauq dan menghasilkan pelbagai rangkaian produk yang berkualiti," katanya.

Dekati masyarakat setempat

Menggunakan pemasaran di atas talian dan juga wakil jualan, Hamizah berkata, dia turut 'turun padang' mendekati masyarakat setempat, terutama penduduk kampung dalam memperkenalkan rangkaian produk Penawar Zauq.

"Setiap bulan, syarikat akan mengadakan jelajah dan memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung. Dari situ, kami turut memberikan produk Penawar Zauq secara percuma mengikut masalah kesihatan mereka.

"Selain mahu mengetengahkan lagi jenama produk, pendekatan ini juga dapat membantu orang ramai dan ia menjadi sebahagian dari prinsip saya bahawa dalam perniagaan perlu beramal.

"Alhamdulillah, setelah mencubanya mereka akan mula membelinya kerana keberkesanannya," katanya yang baru menjayakan program tersebut di Paka, Terengganu selama tujuh hari.

Hamizah berkata, tiga peratus dari setiap pembelian produk juga akan didermakan kepada badan amal yang terpilih.  

Menyasarkan lebih ramai wakil jualan, Hamizah berkata, dia juga optimis mengembangkan pasaran Penawar Zauq ke luar negara.

"Buat masa ini, kami mempunyai hampir 500 wakil jualan dan menyasarkan pertambahan wakil jualan sebanyak dua kali ganda menjelang tahun hadapan.

"Modal yang ditawarkan juga sangat berpatutan iaitu, RM3,000 untuk stokis di setiap negeri dan RM300 bagi mereka yang mahu menjadi ejen," katanya yang optimis

melahirkan lebih ramai usahawan menerusi jenama Penawar Zauq untuk berkongsi rezeki dan menjana pendapatan bersama.

Bagi yang berminat untuk menjadi wakil jualan, layari website www.penawarzauq.com atau Facebook Penawar Zauq Malaysia.

Lancar produk baharu

Sejak diperkenal pada tahun 2014, Hamizah berkata, rangkaian produk Penawar Zauq dijual dengan harga berpatutan iaitu serendah RM3.50 sehingga RM150, malah terjual melebihi 10,000 unit sebulan.

"Selain set kehamilan, produk minyak bayi dan minyak penawar bagi melegakan kembung perut serta lenguh-lenguh badan ini meraih jualan tertinggi pada setiap bulan.

"Saya sangat menitikberatkan kualiti produk dan dihasilkan di kilang milik saudara kami dan setiap pembuatan akan dipantau sendiri oleh saya, "katanya.

Menurut Hamizah, syarikat turut melancarkan empat produk baharu Penawar Zauq iaitu Bijirin Susu Kambing (RM60), Majdulina Kids Cereal (RM35), Kolagen Jameelah (RM150) dan Zauq Premix Coffe (RM33) bagi memenuhi permintaan ramai terhadap produk pemakanan kesihatan.

"Kesemua produk ini dipasarkan sejak lima bulan lalu dan Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

"Lagipun Penawar Zauq sudah mempunyai pelanggan tetap dan mereka memang menanti-nantikan produk baharu kami terutama, Bijirin Susu Kambing yang mendapat permintaan tinggi," katanya yang meraih jualan 300 unit setiap bulan.

Tambahnya, produk baharu tersebut dihasilkan dengan pelbagai pemakanan berkhasiat dengan fungsi-fungsi tertentu bagi memelihara kesihatan dalaman dan luaran tubuh badan.

"Bijirin susu kambing misalnya diadun bersama kolagen, kurma dan madu yang baik untuk kesihatan. Ia dapat memberikan tenaga sepanjang hari selain menjaga kesihatan dan sistem pencernaan badan.

"Majdulina Kids Cereal pula khas untuk kanak-kanak. Ia diperkaya dengan bijirin bersama kurma dan madu. Untuk wanita, semestinya Kolagen Jameelah yang kaya dengan campuran buah-buahan terutama strawberi untuk kecantikan secara menyeluruh," katanya.  

Berkongsi perancangan syarikat, Hamizah berkata, dia dalam usaha mengembangkan jenama Penawar Zauq dengan menerokai produk pemakanan yang halal.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MINDSET changer. ECRL yang baru dilancar minggu lalu adalah antara projek utama dalam Revolusi Pembangunan Selatan-Selatan. Seperti OBOR - One Belt One Road, ia tetap diterajui China. Semua ini kesinambungan dan limpahan daripada Agenda Pembangunan China.
  • PERNIAGAAN berkonsep kios sering dilihat di pusat beli-belah dan kawasan tumpuan ramai seperti lapangan terbang dan hospital.
  • AKAR manis mempunyai khasiat yang tersendiri dan menjadi satu herba dalam Ayuverda untuk membuat serum kerana ia tidak berbahaya kepada kulit.
  • DODOL durian berjenama Dodol Bonda di Kampung Empai, Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak semakin mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemarnya termasuk pelancong dalam dan luar negara.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.