KOTA BHARU - Hotel Grand Riverview mengambil inisiatif mendekati rakyat di Kelantan dengan mengadakan kelas masakan yang memperkenalkan cara dan persiapan masakan di hotel berkenaan.

Pengurus Besarnya, Vincent Chua berkata, usaha berkenaan diambil memandangkan sebelum ini tiada program seumpama itu dijalankan dan pertama kali menemui peminat masakan di negeri ini.

“Pihak kami mempunyai 40 chef yang pakar dalam bidang masakan masing-masing dan kami ingin mendekati rakyat dengan berkongsi cara persiapan memasak makanan Melayu, ala barat, Cina (Hong Kong) dan Jepun.

“Kelas masakan ini mengalu-alukan mana-mana persatuan dan individu yang berminat dalam bidang masakan, mereka boleh belajar secara langsung dengan pihak hotel,” Menurutnya semasa Program ‘Cooking Demo’ yang dihadiri ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Kelantan dan Wanita MCA.

Pada program itu, empat resipi istimewa hotel dikemukakan kepada umum termasuk menu ayam gardon dengan sos cendawan, udang goreng bersama keladi dan sos labu, dim sum pisang goreng berinti kacang merah dan udang masak lada hitam.

Menurutnya, pada program pertama kali diadakan itu, kelas demonstrasi masakan melibatkan kaum wanita itu diadakan secara percuma dan selepas ini, jika terdapat pihak yang berminat, pihak hotel akan menyediakan peralatan asas penyediaan makanan dengan bayaran pendaftaran minimum.

“Sekarang fokus kami bukan untuk berniaga semata-mata, namun kami mahu ada interaksi di kalangan rakyat Kelantan, membuat program kebajikan, selain dapat berkongsi idea mengenai masakan paling digemari masyarakat di negeri ini.

“Kami mahu menjadi salah sebuah hotel di Kelantan yang sentiasa mesra di hati dan jika sebelum ini, peminat bidang masakan hanya melihat cara memasak di televisyen, sekarang ini mereka sudah boleh terlibat secara langsung dalam masakan di hotel,” katanya.

Selain itu, katanya, sempena sambutan Hari Ibu tahun hadapan, anak-anak boleh mengambil peluang bersama-sama pihak hotel memasak hidangan istimewa sebagai tanda kasih sayang kepada ibu mereka.

Vincent berkata, selain kelas masakan, pihaknya turut memberi tumpuan kepada semua golongan dengan mengadakan permainan dan aktiviti melalui ‘Pirate Of GRV Island’ dari 15 hingga 31 Disember nanti dan pada malam akhir tahun meraikan sambutan tahun baru.