GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH Retail) menjalinkan kerjasama dengan TV Al-Hijrah bagi mengedarkan bubur lambuk sepanjang Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pierre Olivier Deplanck berkata, kerjasama ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat setiap kali Ramadan.

“Ini merupakan tahun kelima kami dengan tema, Berhati Mulia di Bulan Ramadan; Rapatkan Saf bermula 29 Mei ini di Giant Ulu Kelang.

“Kami akan edar bubur lambuk di lapan cawangan Giant di Lembah Klang dan 26 pasar besar di seluruh negara bermula 3 hingga 6 petang,” katanya pada majlis pelancaran Pengedaran Bubur Lambuk Tahunan Giant dan 1 Juta Beg Guna Semula di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain itu, Giant juga akan edar bubur lambuk di Pusat Pelarian Syria Jalan Bukit Petaling dan Pusat Pediatrik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Dalam majlis itu juga, GCH Retail turut menyerahkan cek RM50,000 kepada Mykasih Foundation, yang akan memanfaatkan 50 keluarga dengan bantuan RM80 sebulan selama 12 bulan. Sejak 2009, Giant telah menyalurkan RM1.6 juta kepada Mykasih.

Giant turut memberikan 1 juta beg guna semula secara percuma bermula 27 Mei ini kepada pelanggan yang membuat pembelian RM50, dalam usaha syarikat mengurangkan penggunaan plastik.

Sempena Ramadan ini, Giant turut mengadakan promosi dengan kerjasama bersama Petron.

“Dengan pembelian RM80, pelanggan layak menerima baucar RM2.50 Petron,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUNGAI PETANI - PROGRAM Bubur Lambuk Adabi dan Giant bersama Media akan dijadikan acara tahunan selain diperluas ke Sabah dan Sarawak bagi memberi manfaat kepada lebih ramai anggota masyarakat kurang berkemampuan di sana.