"PASARAN getah Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan seiring dengan pergerakan ringgit berbanding dolar AS dan harga minyak mentah dunia," kata seorang peniaga.

Beliau berkata harga getah juga dijangka bergerak sejajar dengan komoditi lain, serta pasaran niaga hadapan serantau, iaitu Bursa Komoditi Tokyo dan Bursa Niaga Hadapan Shanghai.

“Harga minyak mentah tinggi pada Jumaat apabila inventori minyak mentah Amerika Syarikat menyusut,” kata peniaga itu yang juga menjangka komoditi tersebut mendapat kuasa beli dari India berikutan bencana banjir yang melanda Kerala.

Banjir itu menyebabkan kekurangan bekalan getah hampir 20 peratus daripada industri tayar India, katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 naik 5.5 sen kepada 540.5 sen sekilogram dan lateks pukal meningkat 6.5 sen kepada 409 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi 5 petang bagi SMR 20 turun 5.5 sen kepada 540 sen sekilogram manakala lateks pukal naik tujuh sen kepada 409.5 sen sekilogram.

Minggu depan, pasaran akan menyambung dagangannya pada Rabu berikutan cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong (Isnin) dan Awal Muharram (Selasa). - Bernama