GERBANG Revolusi Sdn Bhd (Gerbang Revolusi), syarikat milik penuh Bumiputera, dilantik sebagai pengedar tunggal peranti TazTag di negara ini.

TazTag merupakan jenama peranti biometrik terkemuka dari Perancis, yang dikeluarkan NewPadMaker.

Ketua Pegawai Eksekutif Gerbang Resolusi, P A Narayan berkata, menerusi kerjasama Gerbang Revolusi dan NewPadMaker, ia membolehkan syarikat itu mengedarkan dan memperkenalkan sebuah peranti berupa tablet tahan lasak yang berkemampuan untuk pengesahan biometrik cap jari dan pengecaman wajah.

"Peranti mudah alih ini guna sistem operasi Shield yang dipertingkatkan daripada sistem Android, mampu membaca MyKad, pasport antarabangsa Malaysia dan lain-lain negara.

"Selain itu, peranti ini juga boleh diubahsuai untuk menyokong sistem eWallet seperti Touch 'n Go, WeChatPay dan lain-lain. Ia mampu menerima bayaran melalui kad kredit dan lain-lain," katanya selepas Gerbang Revolusi memeterai perjanjian dengan NewPadMaker di Cyberjaya, semalam.

Narayan berkata, peranti itu juga sesuai digunakan pihak bank dan syarikat telco membuat pendaftaran pelanggan dengan mudah dan cepat.

"Tablet tersebut juga sesuai digunakan untuk pendaftaran pesakit di pihak klinik dan hospital, serta pendaftaran pelajar dan lain-lain.

"TazTag mudah digunakan untuk mendaftar pemegang MyKad atau pasport seperti mengundi semasa pilihan raya," katanya.

Beliau berkata, Gerbang Revolusi menyasarkan sebanyak 3,000 unit tablet mudah alih TazTag akan terjual sehingga akhir tahun ini.

"Kami yakin sasaran ini dapat dicapai kerana sambutan positif daripada sektor kerajaan dan swasta yang berminat dengan produk ini," katanya.