TERKENAL dengan logo gambar buaya, jenama Crocodile amat popular dengan rangkaian produk fesyen dan gaya hidup.

Ditubuhkan pada 1947, Crocodile yang diasaskan Datuk Dr Tan Hian Tsin mula bertapak di negara jiran, Singapura.

Jenama Crocodile dipilih kerana ia memudahkan pelanggan untuk mengenalinya.

Tambahan pula, Hian Tsin berpendapat, kulit buaya adalah eksotik, mewah dan tahan lama, sesuai dengan penekanan syarikat itu dalam menyampaikan produk yang berkualiti kepada pelanggan.

Dengan visi dan matlamat untuk menjadi pemimpin jenama fesyen dan produk gaya hidup Asia, semakin hari Crocodile semakin menyerlah dalam industri tersebut.

Mungkin ramai tidak tahu, pada awal perniagaan, Crocodile memilih untuk menjual singlet, yang menjadi pakaian popular, selain mudah dihasilkan.

Percaturannya itu membuahkan hasil untuk berdepan dengan persaingan sengit daripada jenama global yang lain.

Selepas dua tahun beroperasi di Singapura, jenama Crocodile kemudian mengembangkan perniagaannya ke Asia Tenggara seperti Malaysia, Brunei, Indonesia dan Thailand.

Pada 1953, syarikat itu mengembangkan perniagaan ke Hong Kong dan di situlah kilang untuk menghasilkan baju jenama Crocodile dibangunkan.

Sekitar 1950-an, Crocodile mengembangkan barisan produknya dengan memperkenalkan kasut, diikuti oleh jam tangan dan kaca mata pada 1960-an.

Pada 2005, Crocodile dijenamakan semula sebagai jenama baharu mewah untuk kelas pertengahan.

Ini kerana, syarikat itu bukan hanya mahu dikenali sebagai jenama dengan fesyen dan produk gaya hidup yang mempunyai kualiti baik dan mempunyai gaya tersendiri, tetapi juga tidak terlalu mahal untuk dimiliki.

Bermula dengan pakaian lelaki, produk Crocodile semakin meluas meliputi barangan kulit, barangan pengembaraan dan aksesori untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Kini, produk Crocodile boleh didapati di China, Korea, India dan negara lain, dengan China dikatakan pasaran terbesar jenama itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.