• G1CC mercu tanda Gambang Ricky Kee Pei Biau
  • G1CC mercu tanda Gambang Gambar perpektif G1CC yang terletak di Bandar Gambang Perdana.
1 /

FOREFRONT Tiara Sdn Bhd ditubuhkan pada 2003 oleh sekumpulan profesional sebagai syarikat pemaju bagi tiga jenis pembangunan iaitu kawasan kediaman, komersial dan industri.

Sebelum ini, pihak pengurusan Forefront Tiara melibatkan diri dan mempunyai pengalaman selama 20 tahun sebagai syarikat pembinaan khusus bagi reka bentuk dan binaan.

Kini, Forefront Tiara telah hampir 10 tahun berkecimpung di dalam bidang pemaju dengan memajukan kawasan Gambang sejak 2010, menerusi projek pembangunan Pusat Komersial Gambang satu (G1CC) yang terletak di Bandar Gambang Perdana.

Fasa satu G1CC mempunyai keluasan 6.9 hektar dan terdiri daripada 59 unit kedai dengan nilai pelaburan kasar (GDV) RM30 juta.

60 peratus sudah dijual

Pengurus Besarnya, Ricky Kee Pei Biau berkata, projek pembangunan fasa satu di G1CC  dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun hadapan.  

Projek pertama syarikatnya itu akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat bermula 2010 lalu sehingga siap sepenuhnya nanti.

“Projek G1CC merangkumi tiga fasa. Sehingga kini, 80 peratus daripada fasa satu itu telah pun siap,” katanya, ketika ditemui Sinar Harian, di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Menurutnya, 60 peratus unit kedai bagi projek G1CC fasa pertama itu telah pun dijual kepada peniaga dengan harga di antara RM458,000 sehingga RM1.2 juta.

Katanya, jualan unit kedai 40 peratus lagi di G1CC masih dibuka bagi semua jenis perniagaan seperti hotel bajet, kedai sukan dan restoran.

Lokasi bakal membangun

Beliau berkata, projek pembangunan G1CC adalah lokasi yang strategik dan bakal membangun kerana berdekatan dengan  kawasan pembangunan pendidikan dan ekonomi.

Antaranya Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang, Tapak Kompleks Sukan Negeri Pahang, Sekolah Sukan Pahang, Akademi Bola Sepak Pahang, Kolej Matrikulasi Pahang, Kolej Komuniti Gambang, Universiti Antarabangsa Islam dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Selain itu, projek akan datang seperti kawasan hab halal, Pusat Siber Gambang, Taman ICT Biotech, Taman Teknologi Agro Excell, dan Taman Sains Gambang, yang kini dalam proses pembinaan.

Jarak di antara Resort Bukit Gambang yang dikenali sebagai salah satu pusat pelancongan menarik negara, di jangka akan menarik lebih ramai pelancong untuk mengunjungi kawasan Bandar Gambang Perdana.  

Ricky berkata, syarikatnya turut akan membangunkan projek pembangunan G1CC fasa dua bermula pertengahan tahun hadapan.

Manakala, fasa tiga bakal dibangunkan dengan membina pasar raya besar dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Buat masa ini, kami sedang mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan pasar raya besar sedia ada dalam negara,” katanya.

Bina hotel, kawasan perumahan

Menurutnya, sebagai perancangan akan datang, Forefront Tiara dan syarikat bersekutu turut merancang untuk membangunkan kawasan perumahan dengan keluasan 28 hektar bermula 2014.

Katanya, kawasan perumahan itu akan merangkumi 200 unit rumah teres dan semi D bagi fasa pertama.

“Ia juga disasarkan kepada penduduk kawasan luar seperti pensyarah, kakitangan syarikat di kawasan itu dan juga penduduk Felda di sekitar kawasan itu,” katanya.

Selain itu, Forefront Tiara merancang untuk membangunkan projek pembangunan hotel tiga bintang yang merangkumi suite kediaman dan kedai komersial dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

Mengulas berhubung projek pembangunan lain di luar kawasan Gambang, Ricky berkata, syarikatnya turut mencari kawasan berpotensi di sekitar Temerloh untuk dibangunkan pada masa akan datang.