DUNIA fotografi merupakan satu seni yang memerlukan kreativiti tersendiri. Nilai sesebuah gambar itu tinggi jika diamati oleh individu yang menghayati kesenian dalam kualiti setiap gambar diambil.

Dewasa ini, fotografi menjadi antara hobi dan pilihan golongan muda khususnya untuk mengisi masa lapang.

Dek kerana hobi tersebut sedikit mahal menyebabkan si penggemar dunia fotografi ini mengambil langkah untuk menjana pendapatan melalui minat mereka itu.

Namun, rata-rata jurugambar sambilan kini lebih tertumpu kepada majlis perkahwinan mahupun pertunangan.

Ini kerana ada sesetengah jurugambar berpendapat bahawa menjadi jurugambar bagi majlis perkahwinan ini mampu menjana pendapatan yang tinggi berbanding jenis fotografi yang lain.

Ada juga yang berpendapat bahawa menjadi jurugambar bagi majlis perkahwinan adalah lebih mudah dan senang.

Apa juga pandangan, ia bergantung kepada kreativiti masing-masing.

Bagi yang baru menceburi bidang ini, mungkin masih belum teroka jenis-jenis fotografi yang boleh mendatangkan keuntungan kepada mereka.

Selain menjadi jurugambar untuk pasangan baru berkahwin, mungkin ini masanya bagi penggemar dunia fotografi melihat prospek yang lain.

Bagi yang mempunyai wang lebih atau gemar melancong, mungkin boleh memberi tumpuan kepada fotografi landskap, yang mana mengambil pemandangan alam dengan kombinasi manusia, haiwan dan sebagainya.

Gambar-gambar ini boleh dijual dengan agensi di dalam dan luar negara yang juga dikatakan boleh mencecah sehingga ribuan ringgit.

Jurugambar juga boleh memilih untuk mengambil gambar model, iklan dan pengkhususan kepada bayi baru lahir.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada minat dan jiwa seseorang jurugambar itu, sekali gus mengurangkan lambakan jurugambar yang kini lebih tertumpu kepada majlis perkahwinan sahaja.

Selain upah yang diterima itu bukan sahaja mampu memberikan pendapatan kepada jurugambar tetapi juga memberikan kepuasan tersendiri.

Fotografi landskap cecah ribuan ringgit

JURUFOTO bagi majlis perkahwinan yang tumbuh umpama cendawan selepas hujan menyebabkan ada segelintir jurufoto beralih kepada skop kerja yang berbeza dalam industri fotografi.

Jurugambar bebas, Nelza Jamal, 30, berkata, walaupun begitu, dia masih menerima tempahan bagi majlis perkahwinan.

"Buat kerja bagi majlis perkahwinan tidak boleh pergi jauh, persaingan sangat banyak dan harga terlalu rumah, bagi saya tidak berbaloi.

"Dulu (2011) harga adalah sekitar RM2,500, sekarang ada jurugambar tawarkan hanya di bawah RM1,000," katanya yang sudah berkecimpung dalam dunia fotografi sejak tujuh tahun lalu.

Menurutnya, dia pernah mencapai jumlah pendapatan (kasar) bagi majlis perkahwinan sehingga RM8,000 sebulan.

Katanya, kerja mengambil gambar ini bukan sesuatu yang mudah, ia juga memerlukan kemahiran.

Walaupun begitu, Nelza masih menerima tempahan bagi majlis perkahwinan sekiranya menerima permintaan.

Setakat ini, dia menerima  purata dua majlis dalam sebulan bergantung kepada permintaan pelanggan.

Bagi menampung minatnya dalam fotografi Landskap, Nelza mencari pendapatan menerusi fotografi stock.

"Hobi saya adalah untuk mengambil gambar landskap, untuk menampung perbelanjaan perjalanan dan gajet, Saya banyak menjual gambar-gambar yang saya ambil di peringkat antarabangsa.

"Gambar-gambar ini ada nilai tersendiri, yang mana boleh mencecah sehingga ratusan atau mungkin ribuan ringgit untuk sekeping gambar bergantung kepada pembeli," katanya yang menjualnya dengan memuat naik gambar di agensi  Instagram, Facebook dan Flickr.

Bagaimanapun, Nelza berkata, jualan gambar itu bergantung kepada tuah, yang mana kadang-kadang ada pembeli dan sebaliknya.

Nelza yang juga merupakan kakitangan kerajaan ini berkata, dalam industri ini banyak cabang dan skop kerja yang berbeza untuk jana pendapatan.

"Ramai orang tahu buat kerja bagi majlis perkahwinan sahaja yang boleh buat duit tetapi sebenarnya industri ini luas," katanya.

Fotografi 'newborn' terima permintaan tinggi

BERIKUTAN usia yang menginjak 30-an, Jurugambar sambilan, Nur Hazny Ruslan, beralih dengan memberi tumpuan bagi mengambil foto khusus untuk gambar bayi baru lahir (newborn) sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, mengambil gambar bagi majlis perkahwinan di usia itu sudah tidak relevan dan pada masa sama persaingan yang besar dengan jurufoto baharu.

"Saya mula memikirkan skop kerja dalam bidang ini yang mampu menjana pendapatan kepada saya.

"Akhirnya saya mengambil keputusan untuk mengambil gambar bayi baru lahir sehingga sekarang," katanya yang telah terlibat hampir lapan tahun dalam industri fotografi.

Menurutnya, permintaan di kawasan utara ada tetapi tidak sehebat di Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan ia kurang persaingan di negeri itu.

Katanya, dia menerima tempahan dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang serta pelanggan dari luar.

Nur Hazny berkata, sejak mengambil gambar bayi baru lahir ini, dia menerima permintaan yang tinggi daripada pelanggan.

"Setiap minggu, saya pasti mempunyai tempahan daripada pelanggan dengan purata empat tempahan sebulan," katanya yang turut menyambung pengajian di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) selama satu tahun dalam bidang fotografi pada 2009.

Nur Hazny yang bekerja sepenuh masa sebagai pereka grafik itu berkata, dia mengambil upah di antara RM600 sehingga RM1,300 (termasuk Album) bagi satu sesi.

Bagaimanapun, Nur Hazny masih menerima tempahan untuk mengambil gambar di majlis perkahwinan yang memerlukan jurugambar wanita daripada pelanggan lama tetapi bergantung kepada lokasi.

Nur Hazny bermula dengan hobi, kini menjadi salah satu pendapatan sampingannya setiap bulan.

Fotografi perkahwinan beri pulangan lumayan

Fotografi perkahwinan adalah antara yang mampu menjana pendapatan tinggi kepada jurufoto sambilan.

Demikian kata, Mohd Kamri Mohd Hairi, 32, yang mula berkecimpung di dalam industri ini sejak 2013.

Menurutnya, mengambil gambar untuk perkahwinan boleh memberikan pulangan yang baik kerana apabila musim cuti sekolah, ramai pasangan akan mengadakan majlis perkahwinan.

"Saya bermula dengan permintaan rakan yang meminta saya untuk menjadi jurufoto bagi majlis perkahwinan dan selepas melihat hasilnya, saya mengambil keputusan utk menceburi bidang ini secara sampingan.

"Saya ada juga banyak gambar potret dan landskap tetapi hanya sekadar hobi," katanya yang juga merupakan guru pendidikan khas di Sabah.

Mengulas berhubung harga yang ditawarkan, Mohd Kamri berkata, dia menawarkan adalah RM900 dan yang tertinggi RM1,500.

Menurutnya, ramai mengandaikan bahawa mengambil gambar itu mudah dan tidak berbaloi untuk  mengenakan harga yg tinggi sehingga ribuan ringgit untuk khidmat fotografi.

Pada hakikatnya, katanya, ilmu dan kemahiran yang dicari adalah sangat susah dan ada kala mengambil masa yang lama, tenaga dan wang ringgit.

Dari segi persaingan di Sabah boleh dikatakan agak menggalakkan kerana telah ramai yang mula menceburi bidang ini.

Antara kawasan yang mendapat permintaan tinggi adalah Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Keningau.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TEKNIK fotografi dalam perniagaan e-dagang amat penting untuk menarik perhatian pelanggan. Menerusi medium ini, pelanggan tidak dapat merasai pengalaman seperti mana membeli-belah di kedai atau butik.
  • INDUSTRI kreatif seperti fotografi antara paling pesat berkembang pada zaman teknologi moden ini, termasuklah perkhidmatan seperti fotografi perkahwinan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.