FOOD Artists (M) Sdn Bhd, yang terkenal dengan rangkaian produknya Burger Bakar Abang Burn, menyasarkan 200 kios Mat Bulat Meatball sebelum hujung tahun ini.

Pengarah Urusannya, Sabrie Salleh berkata, sehingga kini, syarikatnya memiliki 130 kios rangkaian produk baharu bebola daging itu di seluruh semenanjung.

“Mat Bulat Meatball telah diperkenalkan bermula Februari tahun lalu dan kini telah berusia setahun di pasaran.

“Alhamdulillah sejak diperkenalkan dan komitmen peniaga kios bebola daging, telah berjaya mencapai purata jualan RM6,000 untuk satu kios dengan pengeluaran tiga ke empat tan sebulan bebola daging,” katanya.

Sabrie berkata, syarikatnya kini lebih fokus kepada produk bebola Mat Bulat yang mempunyai pelanggannya sendiri.

“Produk yang 100 peratus buatan kilang kami sendiri di Bukit Jelutong, memberikan kelebihan tersendiri terhadap adunan daging bebola ini.

“Menggunakan lebih banyak bahan mentah di dalamnya tanpa campuran tepung, berikan kepuasan kepada pelanggan yang jadi pelanggan tetap kami,” katanya.

Hasil sambutan menggalakkan ke atas produk ini, syarikat katanya masih membuka peluang kepada yang berminat untuk membuka kios Mat Bulat  Meatball dengan modal bermula RM2,150.

“Kami akan menyediakan kios, dapur, bahan masakan dan alatan lain yang lengkap sehingga pemasaran juga diuruskan oleh ibu pejabat,” katanya.

Pun begitu, di sebalik fokus syarikat ke atas perniagaan bebola itu, rangkaian Burger Bakar Abang Burn masih beroperasi seperti biasa dan telah berjaya memasuki pasaraya Tesco.

“Bagi peminat Burger Bakar Abang Burn, kami ada sediakan bebola dan burger sejuk beku yang kini boleh didapati di pasaraya Tesco.

“Selain itu, kedai Burger Bakar Abang Burn, juga masih beroperasi untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan masakan panas daripada produk ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.