ZURICH Malaysia mengumumkan pelancaran program integrasi komuniti jangka panjang, 'Eat Right to Play Right' (ERTPR) menerusi pembentukan kerjasama strategik dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Connecting Communities (MCC), serta rangkaian pasar raya terkenal, Mydin Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Life Insurance Malaysia Berhad, Philip Smith berkata, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kesejahteraan kanak-kanak.

Philip berkata, ERTPR ditubuhkan pada 2016 dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan One Goal Malaysia (OGM) bagi menangani isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak melalui pendidikan mengenai kepentingan nutrisi dan pemakanan sihat, serta penggalakan aktiviti fizikal dan semangat kesukanan menerusi sukan bola sepak akar umbi sebagai platform.

"Program ERTPR mencerminkan komitmen jangka panjang kami terhadap usaha meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia dan kami berbangga  bekerjasama dengan rakan kongsi strategik untuk memperluaskan tahap kesedaran dalam kalangan komuniti,” katanya pada majlis pengumuman tersebut di Petaling Jaya.

Philip berkata, sempena kejayaan program ERTPR yang kini melepasi pertengahan penggal bagi tempoh pelaksanaan asal selama empat tahun, Yayasan Z Zurich memberi komitmen mengagihkan geran tambahan RM9 juta sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan geran RM13 juta untuk program tersebut sekali gus tempoh ERTPR dilanjutkan sehingga 2021 dengan acara baharu akan dilaksanakan bagi memupuk kesedaran terhadap program ini.

Tambahnya, antara inisiatif akan datang adalah pertandingan Bola Sepak Belia Negeri, terbuka kepada kelab-kelab bola sepak serta komuniti dengan pemain-pemain berusia antara tujuh dan empat belas tahun yang mana para peserta turut berpeluang menyertai permainan serta aktiviti berasaskan nutrisi dan perkongsian Liga Remaja dengan MCC, di mana para peserta liga akan dididik mengenai kepentingan nutrisi serta tabiat pemakanan sihat.