FILIPINA, di bawah Presiden Rodrigo Duterte, berusaha mengembangkan industri halal di negara berkenaan bagi menarik pelancong Islam serta  memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada masyarakat Islam dan bukan Islam.

Penolong Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina, Abdulgani Macatoman, berkata pembangunan industri halal di di negara itu melangkah setapak lagi melalui penyusunan Undang-Undang Halal, baru-baru ini, membabitkan 10 agensi yang diterajui jabatannya.

“Jumlah masyarakat Islam di Filipina adalah 11 juta atau 10 peratus daripada jumlah penduduk.

“Kami mengeksport US$800 juta (US$1 = RM3.86) produk halal ke kebanyakan negara ASEAN dan Arab. Kami menjangkakan peningkatan dalam industri ini di Filipina, terutama dengan bahagian mengenai Undang-Undang Halal berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Abdulgani mengetuai delegasi 100 peserta dari Filipina ke Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2018.

Abdulgani berkata, sejak Duterte mengambil alih kepemimpinan negara berkenaan, presiden yang agak lantang itu memberi penekanan kepada pembangunan industri halal.

“Presiden kami, secara peribadi, amat mengambil berat berhubung pembangunan industri halal dan memulakannya di bandarnya sendiri, Davao City,” katanya.

Katanya, Davao City adalah ibu negeri Mindanao, kerajaan tempatan pertama yang menubuhkan Majlis Bandar Raya Halal dan disasarkan untuk menjadi hab halal kepada Filipina.

“Kita dapat lihat dengan jelas pertumbuhan yang ketara dalam industri halal di Filipina (selepas Duterte menjadi Presiden),” katanya.

Abdulgani berkata, sebagai negara di mana pelancongan memainkan peranan besar kepada ekonomi, industri halal sa ngat  penting kepada Filipina bagi menarik 145 juta pelancong Islam dari negara-negara Arab juga dari rantau ASEAN.

Katanya, Filipina sedang membangunkan rantaian bekalan halalnya bagi memastikan produk berkenaan, bermula dari ladang sehingga pengguna, memenuhi standard halal. Ia termasuk logistik, penyimpanan dan makanan haiwan.

Kategori yang berlainan ini dapat menghasilkan banyak peluang perniagaan kepada kami,” katanya.

Katanya, negara berkenaan juga sudah menandatangani perjanjian Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina selain Forum Akreditasi Halal Antarabangsa bagi mengukuhkan komitmennya dalam industri halal.