MEMENUHI permintaan ramai, Laman Khaira ditubuhkan khas untuk warga emas dengan pendekatan dan pengurusan yang berbeza dari pusat jagaan sedia ada.

Pengasasnya, Datin Intan Safinaz Redzuan Ranjit berkata, Laman Khaira merupakan terapi pusat penjagaan dan pendidikan Islam dewasa yang beroperasi secara islamik dengan modul–modul yang disediakan khas oleh pakar pendidikan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).  

"Laman Khaira menyediakan pelbagai kelas Islamik dengan kaedah pembelajaran khas dan kami bawakan tenaga pengajar berpengalaman seperti Ustazah Faizah Mohd Hussain yang merupakan Johan Tilawah Antarabangsa tahun 2005.

"Malah, setiap kelas agama yang dipimpin beliau turut diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi),” katanya yang memulakan perkhidmatan tersebut pada April lalu.

Intan Safinaz berkata, Laman Khaira juga menyediakan pelbagai aktiviti sampingan seperti bercucuk tanam dan kelas memasak sebagai terapi kepada penghuni di sini.

“Selain itu, penghuni akan dihidangkan dengan pelbagai jenis menu makan yang berkhasiat enam kali sehari, selain pemantauan 24 jam daripada kakitangan di sini.

"Kami juga menyediakan jururawat terlatih, bukan hanya untuk penjagaan fizikal tetapi juga emosi," katanya.

Banglo dua tingkat yang terletak di Presint 16 Putrajaya, turut dilengkapi pelbagai fasiliti bagi memberikan ketengan serta keselesaan kepada penghuninya.

“Bagaimanapun, tempat adalah terhad kepada 24 penghuni sahaja dan hanya dibuka kepada golongan wanita," katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :