FAKTOR luaran semasa akan terus mempengaruhi pasaran ekuiti serantau termasuk Malaysia, mewujudkan ketidaktentuan dan menyebabkan pengurus dana tidak memasuki pasaran.

Ketua Penganalisis Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee berkata, aliran keluar asing melebihi RM10 bilion dalam tempoh Mei-Jun, dengan pasaran selepas pilihan raya umum mencatatkan jualan asing bersih hampir RM7 bilion setakat ini.

Dari segi perbandingan, negara mencatatkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM10.25 bilion ke dalam ekuiti pada 2017.

“Bagi minggu ini sahaja, jualan bersih mencecah RM310.7 juta (hingga Khamis) dan kami menjangka dana ini akan terus catat jualan dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Tambahnya, pertikaian perdagangan yang berterusan antara AS dan China juga dijangka menjadi faktor utama yang menyumbang kepada trend itu.