FRASER & Neave Holdings Bhd (F&NHB) me­lan­car­kan barisan pengisian dingin aseptik bernilai RM90.5 juta bagi botol Polietilena Tereftalat (PET), menggunakan bekas lebih nipis dan ringan, serta mengurangkan 40 peratus peng­gunaan bahan pem­bungkusan PET.

Barisan pengeluaran dengan teknologi terkini terletak di F&NHB Shah Alam ini, mencapai kelajuan tinggi pada kapasiti mak­simum 720,000 botol sehari, membolehkan F&NHB mempertingkatkan pen­geluaran botol di kilang Shah Alam sebanyak 6.5 juta kotak setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe, barisan ini akan memberi sumbangan besar dalam usaha kumpulan mem­bekalkan produk lebih segar dan canggih dengan nilai pemakanan lebih tinggi serta lazat untuk memenuhi per­mintaan pengguna.

"Dengan reka bentuk barisan pengisian dingin aseptik serba maju yang menjamin kebersihan pen­gisian dan pembungkusan, kami dapat mengurangkan pembaziran dan memini­mum­kan jejak karbon, lantas menguatkan komitmen kami terhadap kelestarian,” katanya.

Tambahnya, barisan pen­gisian dingin aseptik dapat mengekalkan persekitaran steril di dalam ruang aseptik selama 156 jam berturut-turut, lantas men­gurangkan masa operasi pengeluaran terhenti dan mengelak pencemaran mikrob.

"Pengguna kini boleh dapatkan produk lebih bersih dan segar yang mengekalkan perisa semula jadi dan nilai khasiatnya. Menerusi kaedah pengisian suhu keliling, barisan pengeluaran ini melindungi hayat simpanan dan memberikan fleksibiliti dalam reka bentuk botol.

"Manfaat ini membolehkan F&NHB menghasilkan proses rantaian bekalan lebih selamat, lebih bersih dan lebih cekap sambil kumpulan terus mengkaji cara lebih inovatif untuk menyediakan tawaran baharu," katanya.