Enam peratus disumbangkan eksport halal negara
$entry.content.caption.value

Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) optimis capai peningkatan nilai eksport 10 peratus dengan jumlah keseluruhan RM33 bilion tahun ini berbanding RM30 bilion tahun lalu.

Naib Presiden Bahagian Operasinya, Mohd Raimee Mohd Tamim berkata, berdasarkan jumlah sasaran itu, enam peratus daripadanya adalah hasil eksport produk dan barangan halal.

“Bagi suku ketiga tahun lalu, nilai eksport menerusi pasaran halal adalah RM22.6 bilion berbanding RM30 bilion (2011).

“Nilai pasaran halal itu mencatatkan peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya (RM20 bilion); RM19.2 bilion daripadanya adalah nilai pasaran eksport halal sahaja,” katanya pada sidang media Minggu Halal Malaysia 2012, di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan nilai eksport adalah menerusi galakan­ dan penyertaan 1,000 syarikat luar meneroka pasaran halal Malaysia.

“Kami percaya dengan cara memupuk mereka terhadap eksport halal, nilai jualan lebih meningkat. Jadi kami sentiasa menyasarkan jualan­ antara 10 hingga 15 peratus kerana jumlah itu suatu angka yang konservatif.

“Faktor kedua ialah kami mula mengumpulkan data dan maklumat untuk memahami dan memenuhi kehendak syarikat luar terhadap eksport halal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Dr Wong Lai Sum berkata, industri halal kini berkembang melebihi sektor makanan sekali gus meluaskan potensi ekonomi industri itu.

Dengan tema ‘Memperkasakan pasaran global' Minggu Halal Malaysia 2012 akan diadakan pada 2 hingga 7 April di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.