KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.2 peratus tahun ini, yang dipacu oleh ketahanan penggunaan isi rumah dan pelaburan, kata Pakar Ekonomi Bersekutu Moody's Analytics Fred Gibson.

Katanya ekonomi global yang semakin lembap dan pertumbuhan sederhana di negara kuasa ekonomi di India dan China akan memberi kesan pada industri Malaysia yang berorientasikan eksport.
 
"Pertumbuhan eksport dijangka sederhana, iaitu corak yang akan berterusan sehingga awal 2012," katanya di dalam nota penyelidikan hari ini. 

Ketahanan penggunaan isi rumah dan pelaburan akan membantu menyeimbangkan pertumbuhan yang lebih sederhana pada masa depan, katanya. 

Menurut Gibson, ekonomi Malaysia dianggarkan berkemabang kukuh 4.5 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2011.
 
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang jitu pada suku keempat itu disokong oleh rangsangan pengeluaran perindustrian, perbelanjaan pengguna yang tinggi dan pertumbuhan kredit yang sihat yang meningkatkan permintaan domestik, walau pun berhadapan kegawatan ekonomi global.
 
"Kami menjangka pengguna isi rumah akan memainkan peranan bahagian yang besar di dalam pengembangan suku keempat yang menarik di mana pengimportan barangan pengguna berkembang secara purata 25 peratus tahun ke tahun," katanya.
 
Permintaan yang mampan bagi mendapatkan eksport komoditi negara ini, khususnya gas asli cecair, akan membantu menampan penyederhanaan sektor eksport, katanya. 
 
"Eksport nominal berkembang 9.8 peratus tahun ke tahun pada suku terakhir 2011, yang menurun dari 11.4 oeratus pada suku ketiga, kata Gibson. - BERNAMA

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.