RNS Food Resources, pengeluar keropok lekor dari Kedah, optimis capai sasaran peningkatan jualan sehingga RM100,000 sebulan menjelang Jun tahun ini berbanding RM50,000 yang diperoleh setakat ini.

Pemiliknya, Nazri Abdullah, 33, berkata, sasaran itu antara lainnya akan turut disokong peningkatan pengeluaran keropok lekor kepada 10 tan untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

“Jika dilihat pada kapasiti, kami yakin boleh menghasilkan maksimum 20 tan keropok lekor sebulan. Tahun lalu sahaja, pengeluaran adalah sekitar 6,000 hingga 7,000 tan sebulan. Tetapi jumlahnya mencatatkan peningkatan yang tinggi dari masa ke semasa.

“Antara keropok yang mendapat permintaan paling tinggi ialah jenis losong dan keping. Selain itu, kami juga menyediakan keropok lekor jenis bulat kecil dan sate ikan,” katanya yang menjalankan perniagaan ini secara usaha sama bersama dua rakan kongsi, Saufi Kasim dan Rosli Umar.

Bagi meluaskan lagi pasaran katanya, syarikat turut membeli sebuah lori berharga RM86,000 bagi memudah­kan kerja penghantaran kepada pelanggan di kawasan yang lebih jauh.

Nazri berkata, sebagai perancangan jangka masa panjang, syarikat berhasrat menubuhkan kilang sendiri selain menghasilkan sos pencicah untuk dijual kepada peniaga dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Selain itu menurutnya, sya­rikatnya juga akan me­ngembangkan pasaran ke seluruh negara tidak lama lagi memandangkan pasaran keropok lekor keluarannya setakat ini hanya sekitar Kedah dan Hatyai, Thailand.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.