DUA sahabat ini, dahulunya bekerja makan gaji, namun kini sepakat menguruskan sebuah syarikat dikenali syarikat Flenaz Synergy Resources.

Mereka nekad beralih arah, demi mengubah masa depan dengan menceburi bidang perniagaan melihat kepada potensi perniagaan itu yang meluas.

Selain minat, mereka mahu membawa pengalaman dalam kerjaya terdahulu dalam usaha menjadi usahawan kini seterusnya melangkah lebih jauh dalam bidang pilihan.

Kini produk pertama keluaran syarikat mereka, Bantal Leyna di bawah kendalian Norlaila Yusof, 31, dan Siti Nastasha Nordin, 33, mulai menembusi pasaran e-dagang.

Menariknya, hanya dalam tempoh tujuh bulan pertama selepas syarikat memulakan operasi pada September 2017, produk Bantal Leyna berjaya mencatatkan jualan mencecah RM2 juta menerusi medium atas talian.

Norlaila berkata, pada asalnya syarikat ini ditubuhkan bagi membentuk pasukan pemasaran dan melahirkan ciri-ciri pemimpin berkualiti menerusi khidmat latihan yang diberi.

"Itu fokus awal kami iaitu mahu melahirkan ciri-ciri pemimpin berkualiti. Tapi dalam masa sama, kami juga memikirkan produk apa yang boleh diketengahkan untuk menembusi pasaran.

"Dalam proses merealisasikan fokus tersebut, kami mula mencari-cari produk yang boleh diketengahkan. Setelah memikirkan, akhirnya kami sepakat menjual bantal,” katanya.

Kenapa bantal?

Menurut Norlaila, pemilihan produk kelengkapan rumah seperti bantal sebagai produk pertama kerana penjualan dan pemasaran barangan rumah belum lagi dipelopori, malah perniagaan itu tidak banyak.

"Selain itu, kami sasar produk yang belum diterokai berbanding produk-produk lain yang sudah berlambak dan boleh dibeli atas talian seperti kosmetik, tudung dan sebagainya.

"Kebiasaannya penjualan bantal boleh didapati di pasar raya. Tidak ramai usahawan tempatan mengusahakan perniagaan ini. Justeru, Bantal Leyna memenuhi keperluan itu.

"Malah, bantal adalah produk amat diperlukan oleh semua isi rumah dan menjadi satu keperluan bagi mendapatkan bantal berkualiti selain ia ‘outdated’.

"Di sinilah Bantal Leyna hadir bagi ‘mencuri’ perhatian dalam segmen perkakasan dan kelengkapan tidur,” katanya.            

Bantal Leyna ada keistimewaan

Siti Nastasha berkata, Bantal Leyna menampilkan kelainan dari segi isiannya yang menggunakan poliester/ fiber berkualiti tinggi.

"Kelainan lain yang kami tampilkan termasuklah fabrik bantal didatangkan dengan corak mewah dan eksklusif serta berzip serta menjadi alternatif kepada bantal isian kekabu.

"Malah, paling menarik bantal ini boleh dicuci terus menggunakan mesin basuh, mudah kering dan tidak bergumpal. Kami rangkumkan semua keistimewaan itu supaya ia berbeza dengan produk bantal lain. Ini strategi kami mengangkat jenama ini sendiri,” katanya sambil memberitahu Bantal Leyna dua pilihan iaitu Bantal Leyna Premium dijual pada harga RM89 dan Bantal Leyna Favourite dijual pada harga RM39.

Bakal perkenalkan produk lain

Melihat sambutan pengguna memberangsangkan sejak Bantal Leyna Favourite menembusi pasaran atas talian, mendorong syarikat  memperkenalkan produk lain.

Kata Siti Nastasha, bagi mengukuhkan jenama ini, pihaknya merancang menambah bilangan produk khususnya kelengkapan bilik tidur.

"Tidak lama lagi, akan ada alas tilam, selimut dan bantal kecil. Namun, ketika ini kami memfokuskan Bantal Leyna Favourite,” katanya yang menyasar jualan atas talian Bantal Leyna Favourite sebanyak RM4 juta akhir tahun ini.

Flenaz Synergy rancang buka akademi

Bagi memenuhi fokus awal iaitu membentuk pasukan pemasaran dan melahirkan ciri-ciri pemimpin berkualiti menerusi khidmat latihan diberi, Flenaz Synergy merancang membuka sebuah akademi.

Menurut Norlaila, pihaknya mahu melahirkan pemimpin yang boleh menjana pendapatan, bukan hanya fokus dalam penjualan sahaja.

"Itu yang menjadi kekuatan syarikat di mana kami berkongsi ilmu dengan ejen-ejen Flenaz untuk simpan duit dan jana pendapatan kerana pendapatan itu boleh datang dalam pelbagai cara dan di ibu pejabat akan beri insentif khusus kepada mereka,” katanya memberitahu mempunyai seramai 457 ejen dan 344 dropship.