CITILINK memberikan diskaun 25 peratus kepada pelanggan warga emas dan kanak-kanak sehingga 31 Disember tahun ini membabitkan seluruh penerbangan.

Memetik laporan KOMPAS.com, Timbalan President Marketing Citilink Indonesia, Harismawan Wahyu berkata, diskaun 25 peratus itu diberikan kepada golongan warga emas 65 tahun ke atas dan kanak-kanak lingkungan usia dua hingga 12 tahun.

"Diskaun ini telah diberikan sejak April 2018 dan diskaun ini terpakai untuk pembelian tiket sehala. Terdapat juga diskaun 10 peratus tambahan untuk pembelian tiket sehala," katanya.

Menurut Harismawan, 70 peratus pelanggan Citilink kebanyakannya adalah mereka yang menjalankan urusan perniagaan yang menjadi pasaran utama penerbangan, dan tidak ke atas golongan warga emas, dan kanak-kanak.

"Bagaimanapun, sebagai syarikat penerbangan kos rendah, Citilink ingin memberikan pilihan hebat bagi keluarga yang merancang untuk percutian.

"Kami mahu menjadi lebih dekat dengan pelanggan dalam pelbagai peringkat usia. Begitu juga ke atas kanak-kanak dan seluruh keluarga. Dengan diskaun diberikan ini, ia akan memudahkan perjalanan semua orang," katanya.