PENGELUAR minuman DairyGo Teh Tarik, DairyGo Food & Beverage (DairyGo) mahu mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pengurus syarikat, Muhammad Yusuf Idris berkata, jualan minuman itu mendapat sambutan memberangsangkan dalam pasaran tempatan, Brunei, Indonesia dan Singapura sejak April lalu.

Menurutnya, DairyGo mengunjurkan jualan bagi produk sulungnya di pasaran mencecah kepada 100,000 unit sebulan berikutan aktiviti promosinya yang aktif mengetengahkan jenamanya di pasaran tempatan dan keyakinan pelanggan terhadap produknya.

"Kami berkeyakinan sasaran tersebut dicapai kerana produk minuman teh tarik ini berjaya mencatatkan jualan 110,000 unit sejak dilancarkan.

“DairyGo Teh Tarik menggunakan inovasi pembungkusan dan formulasi sendiri dengan menggunakan teh ceylon dari Sri Lanka dan susu diimport dari Australia bagi menghasilkannya,” katanya.

Beliau ditemui pada sesi pengenalan produk minuman DairyGo Teh Tarik di pejabatnya di Bangi Sentral dan hadir sama Pengarah Urusan Syarikat, Syarifah Nabilah Al Yahya Syed Sheh.

Muhammad Yusuf berkata, persaingan sengit dihadapi dalam industri makanan dan minuman kini telah memberi peluang kepadanya mencari kelainan dalam memasarkan produknya secara atas talian.

"DairyGo menjalankan kajian dan pembangunan selama setahun untuk mendapatkan hasil terbaik.

“Selain dihasilkan untuk memudahkan pelanggan iaitu boleh diminum pada bila-bila masa, DairyGo Teh Tarik juga diproses menggunakan teknologi dari Jepun iaitu pensterilan bersuhu tinggi yang menyebabkannya mampu bertahan selama setahun enam bulan,” katanya.

 Beliau memberitahu produk ini dijual pada harga RM4 seunit dan kini ditawarkan dalam pek promosi RM20 untuk lima unit teh tarik, semuanya boleh ditempah atas talian menerusi 40 pengedar yang telah sedia ada.