“INGAT DAG, Ingat Bantal Hotel!” Siapa sangka di sebalik tagline itu, perniagaan ‘jual bantal’ yang diusahakan oleh usahawan muda, Das Abdul, 33, berjaya membuka mata ramai pihak serta membuktikan kehebatan usahawan tempatan yang mampu membawa jenama dan produk ke tahap yang lebih tinggi.

Muncul sebagai syarikat Bumiputera yang mengusahakan perniagaan bantal hotel dengan jenama sendiri, Das Abdul Global Sdn Bhd (DAG) berjaya meraih jualan sehingga 400,000 unit dalam tempoh dua tahun beroperasi.

Perniagaan yang diusahakan dari car boot sale itu kini mempunyai gudang sendiri yang mampu memuatkan 20,000 stok bantal dalam satu masa serta mempunyai lebih 800 wakil jualan di seluruh Malaysia dengan permintaan tinggi di luar negara terutama Singapura dan Brunei.

Optimis mengembangkan perniagaannya, katanya, syarikatnya kini dalam usaha menerokai pasaran baharu di luar negara, terutama Indonesia serta meluaskan lagi pasaran di seluruh negara dengan pelantikan lebih ramai wakil jualan.

“Buat masa ini, DAG mempunyai beberapa jenis bantal hotel mengikut gred taraf bintang dan kualitinya. Bantal kami terkenal dengan keselesaan, lena seperti bermalam di hotel 5 bintang,” katanya.

Das Abdul optimis mengembangkan jenama produknya ke tahap lebih tinggi.

Menurutnya, DAG memasarkan beberapa jenis bantal yang berbeza spesifikasinya iaitu Polyester Helix-DAG, M Series - Microfiber, H-Class, Memory Foam dan Down Feather yang merupakan bantal organik yang diperbuat dari bulu itik dan diimport khas dari luar negara.

“Setiap produk kami mempunyai kualiti yang tinggi dan setaraf jenama antarabangsa. Selain selesa, ia bersifat tahan lasak, tidak berdebu dan anti alergi.

“Harga ditawarkan sangat berpatutan iaitu serendah RM35 hingga RM280,” katanya yang menerima permintaan tinggi menerusi jenis H-Class yang dijual pada harga RM43.

Jual dari but kereta

Mengusahakan perniagaan tersebut bersama isterinya, Sapinah Muhammad, 33, beliau berkata, mereka berdepan pelbagai cabaran sebelum berjaya.

Mempunyai latar pendidikan dalam bidang jurutera, akui Das Abdul, beliau dan isterinya pernah menguruskan sebuah resort di Kelantan sehinggalah mereka terpaksa berhenti kerja dan berhijrah ke Johor.

“Kami melakukan pelbagai perniagaan lain dan pernah kena tipu. Memang agak struggle dan isteri cuba memohon tapak untuk berniaga menerusi but kereta di Parit Raja.

“Mulanya kami tercari-cari perniagaan apa yang mahu dijalankan, hinggalah tercetus idea menjual bantal. Hari pertama berniaga dari jam 5 petang hingga awal pagi, tidak ada satu pun bantal terjual. Tapi berkat kesabaran, bantal itu terjual dari 20 biji hingga beratus ribu sekarang,” katanya yang bermula dengan modal RM2,600.

Menurutnya, hasil testimoni pelanggan banyak membantu jualan sekali gus mengembangkan perniagaannya. Malah rata-rata pelanggan mahu menjadi wakil jualan kerana percaya dengan kualitinya.

“Pengalaman bekerja di resort sebelum ini banyak membantu saya. Dari situ saya mengenali jenis serta ciri-ciri bantal hotel terbaik. Juga memudahkan urusan saya untuk mendapatkan bekalan dan memasarkannya,” katanya yang berhasrat untuk mempunyai kilang sendiri.

Menurutnya, syarikat juga dalam usaha menjadikan DAG sebagai jenama kelengkapan tidur pilihan utama masyarakat di dalam serta luar negara.

“Selain bantal, DAG juga menyediakan semua kelengkapan tidur termasuk tilam, selimut, cadar dan pelbagai lagi. Kami sedia memenuhi permintaan dengan harga berpatutan, tapi berkualiti hotel.

“Namun semua produk kami hanya boleh didapati menerusi wakil jualan yang dilantik sahaja,” katanya.

Lahir ramai jutawan

Menyasarkan jualan tiga kali ganda untuk tahun ini, Das Abdul berkata, misi beliau bukan sahaja untuk bergelar usahawan Bumiputera yang berjaya dalam perniagaan tersebut, bahkan mahu membantu orang ramai menjana pendapatan bersama DAG serta melahirkan lebih ramai jutawan.

"Pesan mentor saya, Dr Azizan Osman, 'kejayaan dan kekayaan bukan diukur dengan jumlah jualan tetapi seramai mana orang yang kita dapat bantu!'. Saya yakin perniagaan ini boleh pergi lebih jauh kerana produk ini tidak bermusim dan menjadi keperluan ramai, tak kira usia, baik golongan tua, muda mahupun kanak-kanak,” katanya.

Mengadakan pelbagai program serta kelas bimbingan kepada wakil jualannya, Das Abdul berkata, beliau juga tidak lupa memberikan penghargaan kepada mereka yang mencapai jualan tinggi. Malah syarikat baharu sahaja mengadakan majlis gala dengan cabutan bertuah berupa kenderaan mewah, Vellfire yang bernilai RM200,000. Cabutan bertuah itu menyaksikan wakil jualannya dari Pulau Pinang, Nor Yusniza Md Ali, 35, sebagai pemenang.

“Alhamdulilah, apa yang saya dapat adalah rezeki dari ALLAH jadi saya bagi pula peluang kepada wakil jualan untuk merasainya.

“Kempen cabutan bertuah itu dilancarkan sejak Januari tahun lalu. Tujuannya untuk memberikan peluang sama rata kepada semua wakil jualan untuk memenangi hadiah tersebut,” katanya.