AIRASIA dengan kerjasama kerajaan Terengganu, akan menggunakan corak “Keindahan Terengganu, Malaysia" pada badan pesawat bagi mempromosikan negeri tersebut untuk selama dua tahun.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan berkata, produk-produk pelancongan negeri berkenaan juga akan dipomosikan pada tempat meletak bagasi, belakang tempat duduk, talam serta majalah dalam pesawat, Travel 3Sixty.

Kerjasama ini akan membawa impak yang positif kepada Terengganu kerana pesawat yang dicat dengan corak itu akan diterbangkan ke destinasi-destinasi antarabangsa.

Ketua Komersial AirAsia Bhd, Spencer Lee berkata, pemasangan corak itu merupakan  sebahagian daripada usaha berterusan AirAsia dengan kerajaan negeri bagi memperkenalkan keindahan dan keajaiban Terengganu merentasi Asia Pasifik.

"Tahun lepas, kami telah menerbangkan lebih 520,000 penumpang ke dalam atau ke luar Terengganu dan kami percaya bahawa corak tersebut akan  menarik lebih ramai pengunjung ke negeri itu, selaras dengan misi kerajaan negeri  untuk memberi keutamaan kepada industri  pelancongan dalam tahun ini kerana ia secara langsung memberi keuntungan kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerjasama dengan AirAsia akan membuka jalan kepada badan-badan korporat yang lain untuk memulakan kerjasama yang serupa dengan negeri ini.

Beliau berkata, Terengganu akan dibangunkan dengan tarikan khusus untuk pelancong dan pengenalan corak oleh AirAsia ini, akan meningkatkan lagi jenama "Keindahan Terengganu, Malaysia".

AirAsia membuat penerbangan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur dengan 28 penerbangan mingguan dan ke Johor  Bahru dengan tiga penerbangan mingguan.

Sehingga 2017, AirAsia telah menerbangkan lebih 2.5 juta pelawat ke dalam dan ke luar  negeri tersebut, dengan rakyat Malaysia, China dan Indonesia antara yang paling banyak menjadi penumpangnya ke negeri itu. - Bernama