WALAUPUN berada pada abad ke-21 iaitu sebuah zaman serba moden dan canggih kini, masih ada yang tidak mendapat bekalan air bersih, terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Kebanyakan mereka masih menggunakan air sungai, perigi dan tadahan air hujan untuk kegunaan harian termasuk untuk minum dan masak.

Air yang digunakan itu pula kelihatan kekuningan, berkeladak dan berbau. Ia juga tidak ditapis dan dirawat dengan baik. Hanya menggunakan kain bagi menapis bendasing sebelum digunakan.

Melihat sendiri keadaan ini ketika melawat kawasan perkampungan Orang Asli di Negeri Sembilan, telah membuka mata seorang sukarelawan yang juga suri rumah, Teng Yu Mein membantu mereka mendapatkan bekalan air bersih dengan kaedah lebih baik.

"Sejak melihat keadaan itu saya memulakan carian dan kajian mengenai sistem penapisan air. Cabaran buat saya kerana perlu memikirkan bagaimana menghasilkan penapis air tanpa adanya bekalan air paip dan elektrik.

"Kemudian saya mendapat idea ketika sedang menyeterika baju. Saya dapati mekanisme tekanan air yang terhasil daripada alat penyembur air ini boleh digunakan pada produk penapis air.

"Idea ini kemudiannya saya terjemahkan ke dalam bentuk protaip, yang mana ia berfungsi menyambungkannya dengan penapis air,” katanya.

Ciptaan ini telah melayakkan Yu Mein mendapat geran bantuan sebanyak RM30,000 dari Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) pada 2016 bagi membentuk produk akhir yang lebih baik seterusnya memasarkan.

Sentiasa tambah baik produk

Bagi menambah baik produk inovasi ini, Yu Mein melakukan ujian sendiri dengan mendapatkan respons daripada masyarakat Orang Asli.

Yu Mein juga mendapati penggunaan pam mudah alih seperti digunakan basikal lebih mudah, di mana tekanan udara dapat disalurkan menggunakan penutup khas ke dalam botol air 1.5 liter.

"Menggunakan penutup khas ini juga, air tekanan tinggi disalurkan pula ke sistem penapis. Hasilnya, air bersih yang siap ditapis boleh terus diminum. Penutup khas ini dikenali sebagai Efinity Ez Water Filter Cap,” katanya.

Penggunaan penapis air seramik pula memudahkan pengguna mencucinya, selain tahan lebih lama sehingga dua tahun tanpa perlu di ganti baharu dan kos penggantiannya hanya menelan belanja RM25.

Manakala pengguna boleh mendapatkan satu set Efinity Ez Water Filter Cap yang dilengkapi dengan alat pengepam dan penapis air pada harga RM99.

Produk inovasi kini jelajah dunia

Sehingga hari ini, Efinity Ez Water Filter Cap mendapat tempat dalam komuniti Orang Asli.

Ramai berjaya dibantu dan diberikan kempen kesedaran mengenai kepentingan menggunakan air bersih.

Antara yang pertama menggunakan produk ini adalah komuniti Orang Asli di Gombak, Selangor, Kampung Simpai, Pahang, Mantin, Negeri Sembilan dan penduduk kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Tambah membanggakan, inovasi ciptaan Yu Mein telah membantu mangsa banjir, bencana alam, penduduk setinggan, zon peperangan termasuk ribuan pelarian Rohingya yang terpaksa menjadi penghuni kem pelarian di daerah Cox's Bazar, Bangladesh.

"Di bawah inisiatif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mereka menempah sehingga 400 set Efinity Ez Water Filter Cap untuk membantu pelarian Rohingya mendapat air bersih.

"Bukan itu sahaja, produk ini juga mendapat perhatian pihak di Sri Lanka, Kemboja dan Myanmar. Impian saya, untuk membantu lebih ramai masyarakat terutama di negara dunia ketiga yang menghadapi krisis bekalan air bersih,” katanya sambil memberitahu produk inovasi ini boleh digunakan selama dua tahun dan penapis air hanya perlu dibersihkan apabila kotor.

Sehingga kini, sebanyak 3,000 set Efinity Ez Water Filter Cap telah diedarkan.