KEROPOK sering menjadi antara kudapan pilihan sebagai snek untuk dimakan pada bila-bila masa. Kemunculan cip atau keropok berasaskan buah-buahan turut menerima tempiasnya apabila sering dijadikan snek kegemaran ramai.

Sebelum ini, buah nanas dan nangka dilihat menjadi pilihan ramai pengusaha yang mengeluarkan produk cip berasaskan buah-buahan ini.

Namun, Inan Global Ventures Sdn Bhd (Inan Global Ventures) tampil dengan pelbagai variasi buah-buahan tempatan dan import untuk dijadikan sebagai cip.

Pengarah Pemasarannya, Amir Arshad Aznam berkata, Inan Global Ventures mula mengeluarkan cip buah-buahan sejak tahun lalu, menerusi jenama mMoon dan Min Moon.

“Cip buah-buahan pertama keluaran syarikat kami adalah nangka, diikuti dengan nanas, betik, mangga, cendawan dan epal hijau,” katanya.

Menurutnya, syarikat itu melakukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bagi menghasilkan cip buah-buahan yang rangup dan enak.

“Proses R&D mengambil masa yang agak panjang kerana kami perlu mencuba pelbagai spesies buah-buahan untuk menghasilkan cip. Ini kerana, tidak semua buah-buahan sesuai buat cip, ada yang sesuai untuk dibuat jus sahaja.

“Dalam proses ini, kami turut dibantu jabatan pertanian yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Kemudian, barulah kami uji dari segi rasa sebelum dipasarkan,” katanya.

Guna teknik ‘dehydrated vacuum fried’

Berbeza dengan penghasilan kerepek biasa seperti pisang dan ubi, cip buah-buahan jenama mMoon dan Min Moon menggunakan teknik ‘dehydrated vacuum fried’ dari Taiwan, yang mencegah pembiakan mikroorganisma, sekali gus memberi ketahanan lama kepada produk.

Amir Arshad berkata, buah-buahan seperti nangka, nanas, betik, mangga, cendawan dan epal hijau yang sudah dibersihkan akan divakum terlebih dahulu bagi menyedut kandungan airnya.

“Selepas itu, ia akan digoreng dengan minyak kelapa sawit yang bersuhu rendah. Ini yang membezakan antara kerepek ubi dan pisang yang menggunakan minyak bersuhu lebih tinggi, berbanding cip buah-buahan jenama mMoon dan Min Moon.

“Kami menggorengnya pada suhu rendah bagi mengekalkan vitamin dan mineral yang terdapat pada buah-buahan tersebut. Rasanya juga rangup, rendah lemak dan tiada kolesterol,” katanya.

Menariknya, cip buah-buahan jenama mMoon dan Min Moon tidak menggunakan sebarang pengawet, pewarna dan perasa tiruan.

Produk Inan Global Ventures juga tidak menambah sebarang gula, garam atau tepung dalam cip mereka bagi mengekalkan keaslian rasa buah-buahan tersebut.

Bagi mengekalkan kerangupan cip tersebut, katanya, teknik pembungkusan menggunakan ‘aluminium foil’ digunakan.

“Pembungkusan turut memainkan peranan kerana cip buah-buahan ini sensitif pada udara, cahaya dan oksigen.

“Sebab itulah, jika pelanggan mahu membeli produk cip buah-buahan kami secara pukal, kami menyarankan supaya mereka menggunakan pembungkusan jenis aluminium,” katanya.

Cecah 200,000 pengeluaran

Sejak dipasarkan tahun lalu, cip buah-buahan jenama mMoon disasarkan kepada golongan berpendapatan sederhana ke atas, menerima permintaan tinggi dengan kapasiti pengeluaran 200,000 paket sebulan.

Amir Arshad berkata, produk Inan Global Ventures itu dijual di rangkaian pasar raya besar Aeon, selain pusat pelancongan di seluruh negara.

“Kami turut menjualnya menggunakan platform e-dagang terkemuka seperti Lazada, 11street, Aladdin Street dan Youbeli, selain laman sesawang milik syarikat itu dan seorang ejen di setiap negeri.

“Produk kami juga turut dijual di kedai di Jeddah, Makkah. Tahun lalu, kami mencuba pasaran di Dubai dan sudah mengenal pasti produk yang sesuai untuk dipasarkan ke negara tersebut, iaitu cip buah-buahan nanas, betik dan nangka,” katanya.

Beliau berkata, produk mMoon dijangka menembusi pasaran Jepun, Emiriah Arab Bersatu dan Korea Selatan menjelang akhir tahun ini.

“Semua produk cip buah-buahan mMoon dijual pada harga pasaran RM7 setiap pek mengandungi kandungan 30 dan 40 gram.

“Bagi jenama Min Moon, ia mengandungi lima cip buah-buahan tempatan iaitu nanas, nangka, betik, mangga dan cendawan, yang dijual pada harga RM10 dan RM15 mengikut saiz,” katanya.

Menjelang akhir tahun ini, katanya, Inan Global Ventures bakal mengeluarkan produk cip buah-buahan ‘rock melon’.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JIKA dulu 'ketam pondan’ tersohor kerana rupa dan rasanya, kali ini makanan laut berasaskan ketam itu kembali dengan ‘baby crab’ yang dijadikan keropok.
  • SEBUAH syarikat Bumiputera yang terlibat dalam penghasilan produk makanan halal berasaskan perikanan iaitu Softa Marketing Sdn Bhd (SOFTA) mengorak langkah setapak lagi apabila berjaya menembusi pasaran China.
  • MEMULAKAN perniagaan menjual keropok lekor goreng secara kecil-kecilan di bawah pokok, syarikat Industri Keropok Dunia kini sudah 10 tahun bertapak di tanah air menggunakan jenama Noba.