LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menyeru penggiat industri menggunakan Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (Qlassic) untuk menjamin kualiti dan mutu kerja kontraktor, selain menambah keyakinan orang ramai terhadap kualiti pembinaan mereka.

Perkara itu disuarakan dalam acara tahunan, Hari Qlassic 2018 yang kini masuk tahun kelima dan diadakan untuk mengiktiraf mutu kerja dan pembinaan cemerlang dalam sektor pembinaan tempatan.

Menurut Pengerusi CIDB, Tan Sri Ir Ahmad Tajuddin Ali, pihaknya telah mengenal pasti kualiti dan profesionalisme sebagai prasyarat utama untuk pembangunan industri pembinaan di Malaysia.

“Melalui komitmen industri ke arah ini, kami yakin dapat mencapai aspirasi Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) sektor pembinaan yang mengutamakan standard keselamatan dan kualiti,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, piawaian kualiti adalah sangat penting untuk industri pembinaan.

“Baik sektor swasta atau awam, penggiat perlu melihat kualiti sebagai prasyarat untuk mereka berkembang dan beroperasi. Penggunaan Qlassic yang semakin bertambah dari tahun ke tahun merupakan tanda positif terhadap penekanan diberikan dalam memastikan mutu kerja berada pada standard tertinggi, dan kami percaya masih terdapat ruang peningkatan dan pertumbuhan,” katanya.

Hari Qlassic 2018 kali ini menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara CIDB dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) yang dijangka akan mendorong industri ke arah mengguna pakai standard Qlassic.

Selain itu, sebanyak 37 projek yang memperoleh skor Qlassic80 peratus dan ke atas diraikan dalam majlis anugerah.

Setakat ini, 341 projek telah dinilai Qlassic pada tahun 2017 berbanding 311 projek pada tahun 2016 dan 270 projek pada 2015.

Purata skor untuk projek tahun lepas yang dinilai adalah 72 peratus dan markah tertinggi direkodkan oleh projek Azalea 2/Fasa NU6B2 yang dibangunkan Sime Darby Property Berhad.

Sejumlah 1,857 projek telah dinilai Qlassic sejak 2007.

Bersempena Hari Qlassic, CIDB turut mempengerusikan perbincangan meja bulat dengan ketua-ketua industri mengenai kualiti dalam pembinaan.

Perbincangan tersebut dapat memberikan peluang kepada para ketua berkongsi pengalaman dan kepakaran berkaitan kualiti pembinaan, selain menyingkap idea-idea yang boleh dipertingkatkan oleh CIDB dan penggiat industri.