$entry.content.caption.value
PETALING JAYA - Lembaga pengarah Tenaga Nasional Bhd "hampir" membuat keputusan tentang orang nombor satu baharunya, kata presiden dan ketua pegawai eksekutif syarikat gergasi utiliti nasional itu, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.
"Keputusan itu akan dibuat oleh lembaga. Kami akan membuat pengumuman sewajarnya apabila keputusan itu diambil. Saya rasa lembaga hampir membuat keputusan mereka," katanya kepada pemberita semalam.
Che Khalib membayangkan dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Disember tahun lepas bahawa beliau akan bersara apabila tempoh kontraknya tamat pada Jun tahun ini selepas menerajui syarikat utiliti itu sejak lapan tahun lalu.
"Dalam mana-mana organisasi, ia memerlukan muka baharu. Saya mencadangkan satu muka baru kerana organisasi ini memerlukan muka baharu. Begitulah dalam mana-mana organisasi. Jika seseorang itu terus berkhidmat bagi tempoh yang terlalu panjang, orang bosan dengan dia.
“Terserah kepada lembaga untuk membuat keputusan, mereka akan mendapatkan perunding untuk mengenal pasti calon, proses itu bermula bulan lepas (Disember 2011, apabila Che Khalib membayangkan hasratnya yang tidak mahu pelantikannya diperbaharui)" beliau dilaporkan berkata.
Dalam ulasannya semalam, Che Khalib berkata, senarai calon-calon berpotensi sangat panjang dan lembaga akan membuat keputusan siapa yang akan menggantikan beliau. - Bernama





