CELCOM Axiata Bhd (Celcom) menyasarkan akan terus mengekalkan pencapaiannya yang mencatatkan perolehan RM8 bilion dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM2.4 bilion sepanjang 2013.

Perolehan itu adalah peningkatan 3.7 peratus berbanding RM7.7 bilion pada tahun sebelumnya.

Keuntungan yang mencatatkan peningkatan tujuh peratus daripada RM2.2 bilion pada 2012 itu pula adalah kadar pertumbuhan tahunan tertinggi dalam industri disebabkan usaha pengurusan kos secara cekap oleh Celcom.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, tahun ini tumpuan syarikat itu adalah untuk memberi fokus kepada penyelesaian usahawan, perkhidmatan digital dan pelanggan bernilai tinggi serta mengukuhkan pengalaman pelanggan antaranya melalui pelancaran Celcom First Elite baru-baru ini.

"Celcom turut mencatatkan jumlah pengguna jalur lebar 1.2 juta dan mencapai pertumbuhan perolehan dua kali ganda dalam segmen ini, iaitu peningkatan 18 peratus kepada RM1.1 bilion pada 2013 berbanding RM927 juta pada 2012," katanya semasa pengumuman keputusan kewangan Celcom bagi suku keempat 2013 di Kuala Lumpur, semalam.

Shazalli berkata, 2013 juga mencatatkan pertumbuhan kukuh bagi perkhidmatan data yang menyumbang 17 peratus kepada perolehan keseluruhan Celcom berbanding 16 peratus tahun sebelumnya.

Pengguna telefon pintar bagi 2013 juga menunjukkan peningkatan sebanyak 48 peratus manakala perolehan daripada internet mudah alih Celcom meningkat sebanyak 36 peratus.

Menurut Shazalli, Celcom turut memperuntukkan perbelanjaan modal RM1 bilion bagi 2014 untuk menambah baik rangkaian dan evolusi jangka panjang (LTE) syarikat itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • CELCOM Xpax memperkenalkan Pelan Internet Xpax yang menawarkan sehingga 15GB kuota internet bersama Music Walla dan Video Walla Percuma.
  • CELCOM Axiata Bhd yakin bahawa perkhidmatan Liputan Evolusi Jangka Panjang (LTE) Generasi Keempat syarikat itu akan setara dengan pesaing yang lain berikutan penyiapan lebih banyak tapak rangkaian di seluruh negara.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.