SEMUA perniagaan memerlukan pembiayaan. Peraturan yang paling asas dalam membiayai perniagaan adalah dengan memberi komitmen melalui wang simpanan sendiri atau sumber lain untuk berniaga.

Ini akan menjadi bukti komitmen anda untuk menempa kejayaan dan menjadi pemangkin semangat dan komitmen yang kuat dari peminjam / pelabur berpotensi. Sekiranya anda dilihat tidak bersedia untuk menanggung risiko menggunakan dana sendiri, mengapa patut orang lain?

Ianya bergantung kepada jenis perniagaan dan secepat mana anda merancang untuk berkembang. Anda seharusnya merangka pelan belanjawan perniagaan untuk sekurang-kurangnya 24 bulan mendatang dan jumlah pendapatan yang anda ramalkan untuk setiap bulan.

Berapa jumlah yang anda perlukan?

Umumnya, permulaan perniagaan akan melibatkan beberapa kos seperti berikut:

* Kos jualan 

Inventori produk, bahan mentah, pengilangan, penghantaran, pembungkusan, insurans penghantaran, pergudangan.

* Yuran profesional 

Penyediaan struktur undang-undang untuk perniagaan, cap dagang, hak cipta, paten, merangka perkongsian dan perjanjian tanpa pendedahan, yuran peguam untuk konsultasi  berterusan, penggajian akauntan. 

* Kos teknologi 

Perkakasan komputer, perisian komputer, pencetak, telefon bimbit, pembangunan laman web dan penyelenggaraan, akses internet berkelajuan tinggi, langkah-langkah keselamatan, perundingan IT.

* Kos pengurusan  

Pelbagai jenis insurans perniagaan, bekalan pejabat, lesen dan permit, penghantaran dan penghantaran pos, pembungkusan produk, parkir, sewa, utiliti, telefon, mesin fotokopi, mesin faks, meja, kerusi, kabinet pemfailan - apa sahaja keperluan asas harian untuk mengendalikan perniagaan.

* Kos jualan dan pemasaran 

Pencetakan, bahan pemasaran, pengiklanan (atas talian & luar talian), perhubungan awam, penglibatan atau penajaan acara atau pameran perdagangan, yuran keahlian persatuan perdagangan, kos perjalanan dan hiburan untuk mesyuarat bersama pelanggan, senarai mel atau senarai petunjuk.

* Upah dan faedah 

Gaji pekerja, cukai gaji, faedah, pampasan pekerja.

Kaedah-kaedah pembiayaan perniagaan 

* Dana Perniagaan Kecil Kerajaan 

Terdapat pelbagai jenis pinjaman dan program perniagaan kecil tajaan kerajaan yang boleh digunakan untuk membiayai perniagaan, termasuk yang dikhususkan khas untuk Bumiputera dan usahawan mikro. Kebanyakan pinjaman ini ditadbir oleh institusi kewangan dan bank perdagangan. Akan tetapi, ada juga antaranya yang ditadbir secara langsung oleh jabatan / agensi yang terlibat dan pembiayaan dari sumber-sumber ini secara relatifnya lebih memudahkan kerana jabatan / agensi kerajaan akan menjamin pinjaman anda jika diluluskan.

* Geran

Biasanya, terdapat pelbagai program geran kerajaan untuk jenis industri tertentu. Lakukan pencarian dalam talian di laman web kerajaan. Anda dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang bayaran kepada pihak ketiga yang mendakwa bahawa mereka akan membantu anda mendapatkan wang geran. Walaupun geran tidak semestinya dibayar semula, akauntabiliti atau amanah yang diletakkan pada anda adalah lebih tinggi, memungkinkan anda untuk bekerja dalam batas waktu yang sukar semata-mata untuk membuktikan kemajuan. Oleh itu, terdapat beberapa jenis penalti yang akan dikenakan jika anda tidak mencapai kemajuan seperti yang dinyatakan dalam kertas cadangan anda. 

* Pinjaman Bank

Bank sering kali menawarkan pinjaman untuk perniagaan sedia ada, manakala agak sukar untuk perniagaan baru diberi pinjaman kerana tidak mempunyai sebarang rekod. Pihak bank memerlukan pelan perniagaan yang meyakinkan sebelum bersetuju untuk memberi anda sebarang pinjaman. Di samping itu, pihak bank juga selalunya meminta cagaran sebagai langkah keselamatan. Berikut adalah senarai agensi Kerajaan dan Bank Perdagangan yang menawarkan pinjaman, geran dan dana:

Lain-lain kaedah pembiayaan

* Simpanan Peribadi

Tiada yang lebih indah dari menjana pendapatan perniagaan dengan menggunakan simpanan peribadi. Anda akan merasai kepuasan dalam menjalankan perniagaan tanpa berhutang dengan mana-mana pihak. Namun penggunaan wang peribadi akan memberi anda lebih fleksibiliti kerana anda tidak mempunyai sebarang bayaran balik yang perlu dilakukan.  

Bagaimanapun sekiranya perniagaan tidak berjaya, wang itu akan hilang sekaligus dengan peluang untuk melakukan apa-apa lagi dengannya di masa hadapan dan boleh mewujudkan beban kewangan yang lain. 

* Pembiayaan melalui hutang

Pembiayaan perniagaan dengan hutang melibatkan pinjaman sama ada dalam bentuk hutang bercagar atau tidak. Hutang tidak bercagar merujuk kepada pinjaman yang diambil tanpa membuat sebarang bentuk jaminan atau cagaran tertentu. Ini terutamanya melibatkan pinjaman daripada keluarga atau rakan-rakan, kad kredit dan lain-lain cara yang sama.

* Pembiayaan Ekuiti

Pembiayaan Ekuiti berlaku apabila peminjam atau pelabur menjadi sebahagian daripada pemilikan perniagaan yang terlibat. Ini boleh terjadi melalui pemberian modal teroka atau pengeluaran saham.

* Modal Teroka

Kapitalis tidak mahu kekal dalam perniagaan anda selama-lamanya. Umumnya, mereka sering mencari strategi untuk keluar yang akan memperlihatkan mereka dalam kira-kira 5 tahun ke hadapan, dengan pulangan tinggi atas pelaburan mereka sebagai ganjaran. Dari segi kepentingan pula, mereka tertarik dengan bidang teknologi tinggi dan pelbagai industri lain. Biasanya mereka membiayai perniagaan yang telah dilancarkan dan mungkin telah mencapai keuntungan.

Ahmad Qaiyum, Business Innovator Lead

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PADA 23 Ogos lalu, saya berpeluang untuk mewakili MyBazar Malaysia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dalam sesi Inclusive Business di Bangkok bersama-sama wakil dari Filipina, Laos dan Thailand.
  • DALAM tempoh kurang tiga tahun, usahawan hebat ini mampu membina empayar perniagaan sendiri menerusi jenama Penawar Zauq yang kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat tempatan.
  • MINDSET changer. ECRL yang baru dilancar minggu lalu adalah antara projek utama dalam Revolusi Pembangunan Selatan-Selatan. Seperti OBOR - One Belt One Road, ia tetap diterajui China. Semua ini kesinambungan dan limpahan daripada Agenda Pembangunan China.
  • PERNIAGAAN berkonsep kios sering dilihat di pusat beli-belah dan kawasan tumpuan ramai seperti lapangan terbang dan hospital.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.