BURSA Malaysia kekal rendah pada tengah hari ini berikutan tekanan jualan berterusan di kebanyakan kaunter berkaitan indeks, memandangkan sentimen negatif  terus menjejaskan pasaran ekuiti.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.06 mata kepada 1,690.08 daripada 1,696.14 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 9.48 mata lebih rendah kepada 1,686.66 hari ini.

Lingkungan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 512 berbanding 208, dengan 287 kaunter tidak berubah, 875 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.16 bilion unit bernilai RM812.83 juta.

Peniaga berkata pelabur kekal berhati-hati memandangkan mereka masih menunggu laporan berita utama yang dijadualkan dikeluarkan minggu ini bagi menentukan hala tuju pelaburan selanjutnya.

Laporan berita itu termasuk mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga yang akan diumumkan pada 16 Nov, data Tuntutan Pengangguran Awal Amerika Syarikat pada 15 November serta angka Pengeluaran Perindustrian China bagi Oktober yang akan diterbitkan pada 14 November ini.

Bagi saham berwajaran tinggi, IOI Corp merosot dengan 14 sen kepada RM4.35, Dialog dan IHH Healthcare masing-masing turun tujuh sen kepada RM3.25 dan RM4.60 manakala Axiata dan Digi masing-masing kurang lima sen kepada RM3.47 dan RM4 .37.

Saham aktif, Ace Market Securemetric naik 30.5 sen kepada 55.5 sen, manakala Sapura Energy susut setengah sen kepada 37.5 sen, Hibiscus dan Sino Hua-An masing-masing berkurangan dua sen kepada RM1.10 dan 23 sen manakala Key Alliance tidak berubah pada tujuh sen.

Dutch Lady mendahului senarai saham rugi dengan merosot 96 sen kepada RM63.00, diikuti Panasonic Manufacturing jatuh 60 sen kepada RM37.66, Heineken turun 36 sen kepada RM19.40 manakala Aeon Credit dan MPI masing-masing susut 24 sen kepada RM15.68 dan RM12.16.

Indeks FBM Emas turun 40.71 mata kepada 11,718.32, Indeks FBMT 100 kurang 37.93 mata kepada 11,559.82 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 65.81 mata kepada 11,854.98.

FBM 70 kurang 31.42 mata kepada 13,674.31 dan Indeks FBM Ace susut 24.13 mata kepada 4,934.80.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.17 mata kepada 172.81 dan Indeks Perladangan susut 83.54 mata kepada 7,234.70.

Indeks Kewangan bagaimanapun bertambah 9.61 mata kepada 17,080.58. - Bernama