KUALA LUMPUR – Dagangan di Bursa Malaysia dijangkakan perlahan minggu depan susulan ketidaktentuan dalam pasaran ekonomi pesat membangun, ketegangan perdagangan yang semakin meningkat dan hujung minggu yang panjang di negara ini, kata peniaga.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pelabur akan sentiasa berhati-hati terhadap peristiwa luaran dan oleh itu, FBMKLCI akan bertahan sekitar tahap rintangan dan sokongan, masing-masing pada 1,805 dan 1,776 minggu depan.

“Selain itu, data gaji bukan ladang AS dijangka menunjukkan pasaran buruh di Amerika Syarikat kekal kukuh, yang memberi sokongan kepada kenaikan kadar di AS, pada mesyuarat Jawatankuasa Terbuka Persekutuan (Fed) pada 26 Sept.

"Fed dijangka menaikkan 25 mata asas, yang kini berada pada dua peratus. Ini akan menambah tekanan kepada aset negara dan mata wang negara pesat membangun," katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia bergerak antara 1,795.29 dan 1,802.12, mengesan impak perang perdagangan ke atas negara, sebelum meningkat selepas merosot tiga hari pada Khamis dan meneruskan momentumnya pada Jumaat.

Pada tiga hari pertama, pasaran tempatan berada dalam arah aliran menurun dan berusaha mengatasi trend negatif, namun gagal tetapi akhirnya kembali tinggi pada Khamis.

Ketua Pegawai Urus Niaga M&A Securities Sdn Bhd R Sundararajah berkata pasaran masih berada pada aras rendah pada minggu yang baru berakhir, dengan mengambil kira hujung minggu yang panjang minggu depan.

"Kami dapat melihat banyak pelabur tidak mengambil sebarang pegangan, dan ini ditambah pula dengan prestasi indeks komposit, yang didagangan pada Isnin pada 1,819 dan turun kira-kira 20 mata sejak itu.

"Kami juga melihat jualan bersih oleh warga asing berjumlah RM602 juta," katanya, sambil menambah bahawa beliau menjangkakan indeks kekal pada tahap 1,800.

Selain itu, Sundararajah juga berkata pelabur akan memantau prestasi Wall Street serta pasaran serantau pada dua hari pertama minggu depan walaupun cuti umum di Malaysia.

"Kita mengikuti arah yang sama seperti Dow Jones dan ekonomi utama Asia yang lain, dan sehingga itu, pelabur tidak mungkin mengambil kedudukan terbuka," katanya.

Bursa Malaysia ditutup pada Isnin dan Selasa sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan disusuli cuti Awal Muharam, Tahun Baru Islam.

Berbanding Khamis lepas, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI mencatatkan 20.49 mata lebih rendah pada 1,799.17 pada Jumaat.

Pasaran ditutup pada Jumaat lepas sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Indeks FBM Emas susut 156.99 mata kepada 12,562.43, Indeks FBMT100 turun 144.87 mata kepada 12,381.56.

FBM 70 menyusut 189.23 mata kepada 14,936.82, Indeks FBM Emas Shariah turun 123.54 mata kepada 12,683.53, manakala FBM Ace merosot 136.99 mata kepada 5,146.72.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 168.86 mata kepada 17,796.11, Indeks Perladangan jatuh 72.75 mata kepada 7,504.83, manakala Indeks Perusahaan susut 0.41 mata kepada 3,221.55.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 11.68 bilion unit bernilai RM10.15 bilion berbanding 10.65 biion unit bernilai RM9.9 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 5.66 bilion saham bernilai RM8.99 bilion daripada 6.81 bilion saham bernilai RM9.05 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.98 bilion unit bernilai RM872.93 juta daripada 1.8 bilion unit bernilai RM488.26 juta.

Jumlah dagangan ACE merosot epada 1.73 bilion saham bernilai RM238.88 juta daripada 2.03 bilion saham bernilai RM360.64 juta.- Bernama