BURSA Malaysia dibuka tinggi hari ini bagi hari kedua berturut-turut selepas saham global meneruskan pemulihan susulan jualan besar-besaran pada Oktober, manakala dolar AS dan kadar hasil Perbendaharaan jatuh, memandangkan keputusan pilihan pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) semalam seiring dengan jangkaan pasaran.

Pada jam 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.98 mata kepada 1,723.86 daripada paras penutup 1,714.88 pada Rabu.

Indeks itu dibuka tinggi naik 11.08 mata kepada 1,725.96.

Public Investment Bank Bhd berkata faktor luaran terus menjadi fokus, terutamanya di AS apabila Parti Demokrat memenangi Dewan Perwakilan manakala Parti Republikan mengekalkan Dewan Senat. Fokus tertumpu kepada kesan daripada kerajaan yang terbahagi ke atas dasar fiskal AS.

“Di Wall Street, S&P 500 meningkat 2.1 peratus kepada 2,813, paras penutup tertingginya bagi satu-satu bulan dan kenaikan sehari terbesarnya sejak 16 Oktober.

“Bagi petunjuk pasaran ekuiti utama Asia Pasifik, yang rata-ratanya tinggi, bercampur-campur apabila keputusan AS semakin jelas,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota.  

Di Bursa Malaysia, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 278 berbanding 44 dengan 115 kaunter tidak berubah, 1,416 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 134.14 juta unit bernilai RM68.39 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, PChem naik 18 sen kepada RM9.88, Tenaga meningkat 14 sen kepada RM14.96, Maybank menokok lima sen kepada RM9.33 dan HLBank menambah 24 sen kepada RM20.84.

Dalam kalangan kaunter cergas, SapNRG, Iris dan PUC semua menokok setengah sen masing-masing kepada 37.5 sen, 15.5 sen dan 15 sen, manakala TatGiap menambah dua sen kepada 19.5 sen dand Frontkn meningkat 4.5 sen kepada 87.5 sen.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 61.78 mata kepada 12,127.27, Indeks FBM Ace naik 54.22 mata kepada 5,038.88 dan FBM 70 menokok 56.22 mata kepada 13,965.22.

Indeks FBM Emas naik 58.88 mata kepada 11,952.90 dan Indeks FBMT 100 meningkat 58.18 mata kepada 11,794.34.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 34.70 mata kepada 7,406.06, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.72 mata kepada 176.39 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 80.25 mata kepada 17,311.72. - Bernama