KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini berikutan permintaan positif selepas saham AS mengimbangi permulaan yang goyah untuk ditutup lebih tinggi pada Selasa, dengan Dow naik sebanyak tiga angka, kata peniaga.

Pada jam 9.01 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 17.04 mata atau 0.95 peratus kepada 1,816.21 daripada 1,799.17 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks dibuka tinggi 11.02 mata kepada 1,810.19.

Suasana pasaran rendah sedikit apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 103 berbanding 95, dengan 1,149 kekal tidak berubah, 1,536 tidak diniagakan dan 44 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 66.18 juta unit bernilai RM92.41 juta.

Pasaran menyambung semula dagangan hari ini selepas dua hari cuti umum sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan disusuli cuti Awal Muharam.

Walaupun pembukaan lebih tinggi, peniaga berkata kebimbangan mengenai perdagangan menyebabkan pelabur berhati-hati, selain memantau konflik perdagangan yang berterusan antara AS dan China.

Dilaporkan semalam China mengemukakan permintaan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk mengenakan sekatan terhadap AS.

Ini susulan pengumuman Presiden AS Donald Trump bahawa beliau bersedia untuk mengenakan tarif tambahan ke atas import China bernilai US$267 bilion.

“Kami menjangka pasaran Asia mengambil pendekatan berhati-hati dalam jangka masa pendek,” kata peniaga.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat lapan sen kepada RM9.97, Public Bank naik 86 sen kepada RM25.86 dan Tenaga menambah 18 sen kepada RM15.98, bagaimanapun CIMB Group susut tujuh sen kepada RM5.85.

Bagi saham aktif, Trive Property, Priceworth dan Borneo Oil, masing-masing tidak berubah pada dua sen, 4.5 sen dan 5.5 sen, manakala Hibiscus Petroleum naik satu sen kepada 0.99 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 75.71 mata kepada 12,638.14, Indeks FBMT 100 naik 95.17 mata kepada 12,476.73 dan FBM 70 menambah 31.20 mata kepada 14,968.02, manakala Indeks FBM Emas Shariah menokok 64.89 mata kepada 12,748.42. Bagaimanapun, Indeks FBM Ace merosot 34.06 mata kepada 5,112.66.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 116.59 mata kepada 17,912.70, Indeks Perladangan menambah 55.54 mata kepada 7,560.37 dan Indeks Perusahaan susut 7.09 mata kepada 3,214.46. - Bernama