SYARIKAT Bumiputera pertama menjadi perintis Sistem Maklumat Geografi (GIS), Megasoft Network Sdn Bhd (Megasoft Network) mengukuhkan kedudukannya dalam bidang tersebut yang dilihat berpotensi dan mempunyai prospek dalam jangka masa panjang.

Pengarah Urusannya, Datuk Megat Sallehudin Megat Ibrahim berkata, Megasoft Network optimis GIS semakin maju dan kompetitif, malah persaingan terus bertambah.

Menurutnya, GIS merupakan sistem pengurusan maklumat berkomputer untuk tujuan pengurusan maklumat, pengolahan, penganalisaan dan pengeluaran maklumat yang sering dikaitkan dengan data berbentuk peta dan pelan.

“Megasoft Network kini memasuki bidaan untuk projek jutaan ringgit khususnya dalam sektor kerajaan. Kami mengendalikan kira-kira 10 projek dan sistem GIS merupakan perniagaan teras syarikat dengan menyumbang hampir 60 peratus kepada perolehan jualan.

“Kami sedang membida enam lagi projek baharu pada tahun ini dan dianggarkan ia bernilai RM20 juta,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam GIS, Megat Sallehudin berkata, beliau menceburi bidang tersebut ketika bekerja dengan sebuah syarikat swasta memberi peluang kepada beliau untuk menimba pelbagai pengalaman.

“Bekerja sebagai pengatur cara GIS selama lima tahun, saya bekerjasama dengan pelbagai pihak dan ada yang memberikan cadangan kepada saya untuk berniaga sendiri,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Universiti Teknologi Malaysia.  

Menurutnya, pada tahun 2005 masih kurang kaum bumiputera menceburi bidang tersebut dan beliau berusaha mempelajari industri berkenaan termasuk berurusan dengan pelanggan korporat dan agensi kerajaan.

Tidak mahu makan gaji

Berdasarkan pengalaman yang ditimba beberapa tahun, beliau berkeyakinan untuk keluar daripada makan gaji lalu mengambil keputusan untuk menceburi bidang perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan GIS kepada pelanggan baharunya.

“Sistem GIS masih baru dan saya tekad untuk menerokai bidang ini kerana ia berpotensi untuk diperluaskan pada masa depan. Saya yakin dengan usia masih muda, saya memiliki banyak idea baharu untuk dikongsi bersama pelanggan.

“Atas sokongan rakan dan melalui modal permulaan sebanyak RM10,000 perniagaan mula beroperasi di sebuah pejabat kecil di Wangsa Maju, Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, syarikat terlibat dalam projek berkaitan GIS dan ditawarkan kepada agensi kerajaan khususnya Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.

“Pada peringkat awal, saya agak sukar menembusi pasaran kerana posisi syarikat yang masih kecil dan baharu. Saya menghadapi kekangan kewangan dan mengalami kekurangan pendapatan hampir satu tahun setengah .

“Saya pernah tidak menerima pembayaran daripada pelanggan hampir tiga bulan sehingga membuatkan saya hampir putus asa,” katanya.

Hadapi cabaran dengan sabar

Megat Sallehudin melihat cabaran yang dihadapinya sebagai satu cabaran, malah beliau gigih mempromosikan dan membida pelbagai projek.

“Permintaan terhadap GIS tinggi dan keunikan perisian yang digunakan dalam GIS yang ditawarkan kepada pelanggan lebih bersepadu, lebih ke hadapan dan mampu memenuhi keperluan pelanggan. Ketika itu, Megasoft Network menjadi salah sebuah syarikat bumiputera perintis dalam bidang GIS di negara ini,” katanya.

Selepas beberapa tahun, bidang GIS semakin mendapat permintaan tinggi dan perkhidmatan yang disediakan Megasoft Network mula diterima, malah ia dikembangkan dalam pelbagai cabang perniagaan lain.

“Selain GIS, syarikat turut terlibat dalam cabang perniagaan lain antaranya ialah pembangunan perisian, perkhidmatan Pesawat Tanpa Pemandu (UAV), multimedia, latihan grafik dan pengeluaran produk penjagaan kecantikan berjenama Voqq,” katanya.

Megat Sallehduin berkata, kesusahan yang dilaluinya dalam industri tersebut mematangkan dirinya untuk menjadi kuat, berani dan bersemangat untuk terus membawa empayar perniagaannya maju ke hadapan.

“Ketika memulakan perniagaan, saya pernah mengalami kerugian hampir RM500,000 akibat sedikit masalah teknikal dalam proses penghantaran cadangan permohonan projek baharu kepada sebuah agensi kerajaan dan ternyata insiden tersebut meninggalkan satu kenangan yang sukar dilupakannya sehingga kini.

“Hampir seminggu saya murung, tidak bermaya dan lemah semangat untuk menjejakkan kaki ke pejabat. Memikirkan hal keperluan keluarga dan kakitangan saya tekad meneruskan perniagaan ini,” katanya.

Beliau berkata, sebagai majikan kepada sebuah syarikat, beliau perlu mencari jalan untuk membayar gaji berikutan pendapatan syarikat yang terjejas dan impaknya terkena kepada para pekerjanya yang setiap bulan mengharapkan imbuhan untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.

“Saya nekad untuk bangun semula kerana kebanyakan pekerja adalah mereka yang berada di belakang saya dan begitu setia dengan syarikat membuatkan saya kembali bersemangat dan aktif untuk mencari peluang projek baharu,” katanya.

Megasoft Network

Hari ini, Megat Sallehudin bersyukur kerana sedar rahmat disebalik kegagalan itu, syarikatnya kini terus berdiri kukuh dalam menghadapi persaingan yang semakin sengit di dalam persekitaran ekonomi yang mencabar dan perubahan teknologi maklumat yang canggih.

“Pesan saya pada usahawan baharu, jangan terlalu yakin dengan apa yang dilakukan, semak semula dengan lebih teliti  setiap urus niaga dan transaksi perniagaan yang dijalankan, sedikit kesilapan yang dilakukan, akan memberi seribu kerugian dan penyesalan yang bakal memakan diri sendiri,” katanya.

Kini, selain sibuk menguruskan perniagaannya, Megat Sallehudin dan kakitangannya turut menyusun jadual dalam projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan membantu golongan yang memerlukan dan mengedarkan makanan kepada gelandangan di Jalan TAR dan Chow Kit, Kuala Lumpur.

“Kami akan memperuntukkan sehari dalam seminggu untuk mengedarkan makanan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan di situ kami dapat berkenalan dan beramah mesra dengan kumpulan tersebut.

“Ternyata ini memberi kepuasan saya membantu komuniti dan memberi semula rezeki yang saya manfaatkan dengan golongan yang susah di luar sana,” jelasnya.