KOTA BHARU - Keputusan bersara awal pasangan suami isteri tidak merugikan kerana setiap masa yang ada diisi dengan perusahaan dari dalam rumah, iaitu memproses sabun madu kelulut tanpa jenama dan dipasarkan kepada agen-agen pemborong.

Pasangan berkenaan, Mohd Nashir Yaacob, 59, dan isterinya, Ramlah Salim, 58, kini giat menjalankan perusahan membuat sabun sejak dua tahun lalu dengan bantuan Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Ketereh.

“Dulu kami ingatkan mahu bersara awal dan berehat, namun disebabkan rumah ini dikelilingi banyak sumber asli dari hutan seperti pokok dan herba, lalu saya yang gemarkan landskap meniaga pokok dan mereka cipta baja.

“Setelah menyertai kursus membuat sabun dan Empower ECER Ketereh mengajar cara membuat akaun secara sistematik, kami akhirnya ‘dipaksa’ pengajar supaya menjana pendapatan, malah kini agen pemborong produk ini bukan sahaja dari negeri lain, malah sudah sampai ke Singapura,” kata Mohd Nashir yang ditemui di Kampung Che Arus, Kok Lanas, Ketereh, di sini, hari ini.

Mohd Nashir berkata, sebelum ini dia membeli madu kelulut, namun sekarang dia menjalankan sendiri menternak kira-kira 35 lot sarang kelulut di sekeliling rumahnya.

“Setelah mempelajari  mengenai pengurusan perniagaan, promosi produk, cara meniaga, membuat buku akaun dan untung rugi perniagaan, saya terus yakin boleh buat kerja secara sistematik.

“Sabun ini bukan hanya diperbuat daripada kelulut sahaja, sebaliknya pelbagai bahan semulajadi lain bergantung kepada kehendak pelanggan, antaranya daun gelenggang, ‘aloe ver’, minyak kelapa dara dan arang tempurung, manakala produk pula ditempah oleh agen-agen kecantikan,” katanya.

Katanya, kos modal sabun tidak banyak, hanya perlukan bahan asas seperti sabun, pewangi dan pewarna yang diluluskan, manakala bahan lain mudah didapati di kawasan rumahnya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.