KUALA LUMPUR - Bank Simpanan Nasional (BSN), yang baru sahaja menyelesaikan sistem migrasinya berkata kesemua perkhidmatan beroperasi seperti biasa walaupun terdapat sedikit gangguan.

Dalam kenyataan hari ini, bank itu berkata sistem tersebut memerlukan sedikit masa untuk stabil, memandangkan sistem perbankan baharu itu melibatkan keseluruhan sistem terasnya.

“Sehubungan itu, gangguan dijangka akan berlaku terhadap sistem itu ketika proses penstabilan ini,” katanya.

Menurut BSN, mesin auto teller dan mesin deposit cek boleh membuat pengeluaran wang dan deposit tanpa sebarang masalah.

Katanya perkhidmatan perbankan di seluruh rangkaian cawangan BSN seperti deposit, pengeluaran, pembayaran, remit dan perkhidmatan lain dapat dilaksanakan dan dimaksimumkan sepenuhnya secara berperingkat.

“Kami sedang bertungkus lumus memastikan sistem  baharu ini berjalan lancar supaya kemudahan transaksi perbankan pelanggan dapat diteruskan.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa simpanan mereka selamat di BSN. Sebagai sebuah institusi kewangan, pelanggan dan simpanan mereka adalah kepentingan dan keutamaan kami,” katanya.

Pelaksanaan migrasi sistem BSN bermula 31 Ogos hingga 4 September lepas.

Ia melibatkan migrasi sistem sedia ada kepada sistem perbankan teras yang baharu bagi menaik taraf dan mempertingkatkan mutu perkhidmatan serta operasinya, selaras keperluan landskap kewangan pada masa kini, kata BSN.

Durasi bagi keseluruhan migrasi adalah 100 jam melibatkan kira-kira 14 juta akaun pelanggan.

Proses migrasi secara komprehensif itu dilaksanakan pada cuti umum Hari Kebangsaan bagi membolehkan cawangan bank ditutup dan secara tidak langsung meminimumkan gangguan keperluan perbankan pelanggan.

Ini menyebabkan semua perkhidmatan perbankan BSN tergendala sementara waktu sepanjang tempoh tersebut, kecuali transaksi pembelian melalui kad kredit BSN di terminal bank lain.

BSN berkata proses migrasi selesai sepenuhnya pada 4 Sept, 2018 dengan operasi perbankan telah dibuka secara berperingkat bermula 11 pagi.

“Sistem perbankan baharu ini dijangka akan meningkatkan kompetensi BSN untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan,” katanya. - Bernama