KUALA LUMPUR - Bosch kekal komited terhadap pembinaan loji tenaga suria di Malaysia bertempat di Pulau Pinang, kata Presiden dan Pengarah Urusan Robert Bosch (Asia Tenggara) Pte Ltd, Martin Hayes.
Dalam satu kenyataan hari ini, Hayes, yang juga Pengarah Urusan Robert Bosch Sdn Bhd, berkata kemudahan baharu itu bakal menjadi sebahagian penting sasaran globalisasinya untuk mengurangkan kos dan meningkatkan hasil tenaga.
"Untuk mencapai kos pengeluaran ekonomi bidangan, Bosch sedang menilai hala tuju yang paling bermanfaat dari sudut teknologi bagi loji itu.
"Dengan itu, kami akan menangguhkan permulaan pembinaan itu ke suatu masa lain dalam tahun ini," katanya.
Bosch, sebuah firma teknologi yang berpangkalan di Stuttgart (Jerman), dilaporkan telah menangguhkan pembinaan kilang panel suria berharga RM2.2 bilion di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Syarikat itu juga berkata ia akan meneruskan perniagaan fotovolta di peringkat antarabangsa, meskipun dalam keadaan persekitaran pasaran yang sukar sekarang.
"Bosch yakin fotovolta merupakan perniagaan yang berpotensi dalam jangka panjang dan akan memainkan peranan besar dalam langkah progresif ke arah sumber-sumber tenaga baharu," tegas kenyataan itu.
Syarikat itu telah beroperasi di Malaysia sejak 1923, dengan diwakili oleh Robert, serta mempunyai pejabat di Selangor, Perak dan Pulau Pinang.
Pada 2010, Malaysia menyumbang jualan berjumlah RM555 juta dengan hampir 2,300 syarikat bersekutu. - Bernama
Bosch terus komited terhadap pelaburan loji tenaga suria Malaysia
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.





