PERMINTAAN hartanah di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang masih tinggi berdasarkan jumlah tempahan yang diterima Bertam Properties Sdn Bhd (Bertam Properties). 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Roslan Ibrahim berkata, usaha merealisasikan permintaan tersebut ternyata memberikan cabaran kepadanya, namun dengan adanya teamwork, dia optimis syarikat dapat memenuhi permintaan tersebut.

Roslan, 61 dilahirkan di Sungai Petani, Kedah dan dibesarkan di Pulau Pinang menerajui Bertam Properties sejak 16 tahun lalu sentiasa memastikan visi syarikat dapat dicapai.

"Setiap sasaran syarikat perlu dicapai kerana ia adalah kepercayaan syarikat kepada saya. Saya sentiasa memastikan setiap projek yang dilaksanakan berdaya saing dan mampu dijual dengan adanya 52 kakitangan yang sentiasa cekap dan bertanggungjawab," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Katanya, sebagai ketua dia bertanggungjawab memastikan syarikat yang juga pemaju pembangunan hartanah di negeri Pulau Mutiara itu mencapai kejayaan yang cemerlang.

Mengimbas kembali penyertaannya dalam Bertam Properties, Roslan berkata, dia bersara awal selepas menerima pengalaman hampir 23 tahun di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). 

"Banyak perkara yang dipelajari dahulu digunakan sebaiknya untuk membangunkan Bertam Properties. Saya menyertai PDC sebagai Pembantu Teknik selepas tamat belajar di Universiti Teknologi Mara dalam bidang Diploma Perancang Bandar dan Wilayah pada 1977.

"Peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sama tidak dilepaskan dan kembali bertugas di PDC serta dinaikkan pangkat. Jawatan terakhir adalah Timbalan Pengurus Besar PDC," katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Westland, Pulau Pinang.  

Roslan bapa kepada empat cahaya mata ini berkata, pemilihannya dalam bidang hartanah selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekadar suka-suka dan hanya mengikut kawan, kini menjadi kerjayanya.

"Zaman remaja saya adalah biasa sahaja dan hanya mengikut kawan-kawan. Alhamdulillah, setelah belajar, saya mencintai bidang ini. Bidang ini mendedahkan saya kepada pelbagai pengalaman yang sangat berharga," katanya.

Roslan yakin, Bertam Properties akan menjadi pilihan sekiranya tiada projek terbengkalai dan pembinaan projek disiapkan dengan sebaiknya.

Bertam Properties Sdn Bhd (Bertam Properties) yakin dengan prospek sektor hartanah di negara ini berdasarkan prestasi jualannya sepanjang 21 tahun dalam industri pembinaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Roslan Ibrahim berkata, Bertam Properties mempersiapkan diri untuk menyediakan rangkaian produk hartanah yang diinginkan dalam pasaran untuk tahun ini dan pada masa depan.

Syarikat yakin mampu menawarkan pelbagai jenis hartanah dalam keadaan ekonomi semasa kerana masih ada pembeli hartanah. Bertam Properties optimis untuk terus melabur dalam kapasiti perniagaan sedia ada.

Boleh kongsikan latar belakang Bertam Properties?

Bertam Properties Sdn Bhd  syarikat yang dipercayai dan bereputasi, terkenal dalam industri pembinaan di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Pembangunan utamanya, Bandar Bertam Perdana yang meliputi seluas 3,750 ekar tanah dirancang dengan pembangunan secara bersepadu dengan ciri-ciri rekreasi, kediaman, komersial dan institusi.

Kejayaan kami menyiapkan lebih 7,000 unit kediaman dan komersial setakat ini adalah bukti kebolehpercayaan dan reputasi Bertam Properties. Pemegang saham Bertam Properties adalah syarikat Bumiputera yang iaitu Uda Holdings Berhad, Johor Land Berhad dan Bertam Consolidated Rubber Co Ltd. Syarikat ini terlibat dalam bidang pembinaan sejak 21 tahun lalu.

Sejak ditubuhkan apakah bentuk pembangunan yang telah dilancarkan? 

Bertam dahulu hanyalah sebuah estet kelapa sawit terletak berhampiran pekan Kepala Batas. Pembangunan pertamanya ialah kawasan perumahan, Taman Bertam Indah. Pembangunan awal adalah pembinaan rumah mampu milik.

Pembangunan berkembang maju, setakat ini, tiga perempat tanah daripada 3,750 ekar telah dibangunkan iaitu perumahan, kedai, pejabat, bangunan komersial, pembangunan kolej dan universiti.

Kini, Bertam telah menjadi hab pendidikan kerana mempunyai kolej komuniti, Maktab Rendah Sains Mara, sekolah sains, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia, Institut Latihan Perindustrian.

Kolej Kejururawatan dijangka akan beroperasi akhir tahun ini. 

Bertam juga mempunyai sebuah padang golf 36 lubang dengan club house, Penang Golf Resort. Kini sebahagian besar bank tanah dimajukan dan jumlah tanah yang tinggal kira-kira 400 ekar akan dibangunkan dalam tempoh 10 tahun akan datang bergantung kepada permintaan pasaran.

Bagaimana dengan permintaan kediaman? 

Permintaan kategori rumah di kawasan ini ialah sederhana dan sederhana tinggi, dalam lingkungan harga pasaran RM300,000 seunit. Bertam Properties membina 200 rumah setingkat RM260,000 (teres setingkat) sehingga banglo dua tingkat (RM900,000). Bertam Properties juga menerima banyak permintaan rumah kategori sederhana tinggi. Kita juga membina rumah kos rendah mengikut garis panduan kerajaan negeri iaitu dijual pada harga RM42,000. 

Pembangunan keseluruhan Bertam Perdana dijangka lengkap pada tahun 2025 dengan kepadatan penduduknya berjumlah 45,000 hingga 50,000. Vision Park merupakan kawasan rekreasi seluas 126 ekar yang merangkumi tasik, trek joging, kemudahan riadah dan mainan kanak-kanak.

Vision Park ini bukan memberikan kemudahan kepada penduduk Bertam Perdana malah juga kawasan-kawasan lain sekitar Kepala Batas.

Sebagai pemaju, kami melihat kuasa membeli rumah tinggi di sesuatu kawasan. Pecahan pembinaan rumah oleh Bertam Properties adalah membina rumah-rumah kos rendah 30 peratus, sederhana dan sederhana tinggi 60 peratus hingga 70 peratus. Bakinya pula ialah bangunan harga tinggi dan banglo tidak melepasi RM1 juta.

Apakah kelebihan Bertam Properties dan bagaimana kuasa beli pada masa kini?

Bertam adalah lokasi strategik. Menariknya, kebanyakan pembeli rumah kami adalah mereka yang pernah membeli dengan kami beberapa tahun lalu. Mereka memilih Bertam Properties kerana kualiti dan keselesaan, majoritinya penduduk Pulau Pinang dan kawasan berhampiran. Kawasan Bertam pilihan kerana pelbagai kemudahan disediakan antaranya pejabat kerajaan di daerah ini, kemudahan infrastruktur, aliran trafik tidak sesak serta bandar yang teratur. 

Walaupun keadaan ekonomi perlahan, kuasa membeli rumah masih ada. Kami masih membina rumah tetapi bilangannya tidak seperti dahulu. Untuk menjual perumahan kami, kami mengambil masa agak lama. Bertam Properties tidak menolak kos pembelian barang pembinaan meningkat.

Kos pembinaan meningkat sebanyak tujuh hingga 10 peratus setahun, ia menyumbang kepada peningkatan harga rumah. Namun kami menjangkakan keadaan ekonomi dan kuasa membeli hartanah akan kembali pulih pada 2018. 

Perancangan pada 2017?

Bertam Porperties melaburkan RM160 juta untuk nilai pembangunan kasar pada tahun ini dan pelancaran projek perumahan mengikut tempoh tertentu melibatkan beberapa kawasan. 

Tumpuan Bertam Properties adalah di kawasan Bertam Eco Residence, iaitu pembinaan rumah banglo setingkat, banglo dua tingkat, semi D dua tingkat dan teres dua tingkat. 

Bertam Properties akan membina 65 unit banglo setingkat berharga RM670,000 yang akan dilancarkan pada April nanti. Banglo setingkat tersebut adalah berciri rekaan Australia dan dijangka siap dua tahun lagi, rumah contoh dijangka siap pada April nanti. Mereka yang berminat boleh datang dan melihat sendiri rumah contoh tersebut.

Kami juga akan membina 26 unit banglo dua tingkat dan 44 unit semi D dua tingkat, harganya bermula RM560,000. 

Selain itu, Bertam Properties juga akan membina 48 unit di Bertam Perdana 2. Kami merancang ia akan dilancarkan pada Ogos dengan harga jualan RM440,000. Kami juga akan membina 140 unit teres setingkat pada harga RM270,000.

Bertam Properties juga membina rumah kos rendah iaitu teres setingkat sebanyak 72 unit. Perumahan tersebut dalam pembinaan dan kini sudah siap 40 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PROJEK pembangunan DesaVille di Meru, Klang, Selangor, yang dibangunkan pemaju hartanah milik Bumiputera, MSN Group of Companies (MSN), menerima sambutan hangat dengan kadar tempahan sebanyak 80 peratus, ketika dilancarkan baru-baru ini.
  • MINAT dalam sektor hartanah setelah melihat lapangan itu boleh menjana pendapatan berganda, membuatkan Mohamed Haryzul Mohamed Ghazali atau lebih dikenali sebagai Jimmy Haryzul lebih fokus dalam bidang tersebut.
  • ADA banyak cara untuk anda lakukan pencarian. Paling mudah menerusi laman web hartanah seperti mudah.my dan propertyguru.com.my
  • BARU-BARU ini, HSBC Holdings PLC, London melaporkan bahawa sebanyak 93 peratus rakyat Malaysia masih tidak memiliki rumah sendiri berdasarkan hasil kajian Beyond the Brick.
  • "AKU tolong jaga rumah orang, lepas itu aku bayar duit sewa bulan-bulan kepada pemilik rumah. Aku dapat apa, baik aku beli rumah sendiri,"