TERPAKSA akur dengan krisis ekonomi negara pada tahun 1997,  bekas pegawai bank ini reda melepaskan jawatannya dan beralih kerjaya menjadi seorang pengurus pengurusan tunai di sebuah syarikat kawalan keselamatan.

Semuanya bagaikan mimpi namun daripada situ, bermula langkahnya secara tidak sengaja berkecimpung dalam kerjaya kawalan keselamatan.

Peluang bekerja di syarikat kawalan keselamatan digunakan sebaik-baik. Malah, beliau turut menimba ilmu mempelajari produk-produk kawalan keselamatan sebelum bersedia membuka syarikat kawalan keselamatan sendiri.

Kini, Mohd Rapi Muda, 51, boleh berbangga dengan pencapaiannya apabila berjaya mengemudi syarikat kawalan keselamatannya, Xceed Security Sdn Bhd, hasil pengalaman diraih sebelum ini dengan menjawat jawatan ketua pegawai eksekutif.

Ayah dua anak ini memberitahu dia sebenarnya tiada pengalaman dalam bidang kawalan keselamatan dan menceburi bidang ini secara tidak sengaja.

"Semuanya kerana saya terpaksa ambil keputusan undur diri dalam bidang perbankan, yang ketika itu dilanda krisis ekonomi. Waktu itu, bank negara mengarahkan semua institusi bank yang kecil bergabung dengan institusi bank yang besar.

"Setelah saya berfikir, saya undur diri dalam bidang perbankan dan berjinak-jinak dalam kawalan keselamatan. Akhirnya saya bekerja di bawah syarikat Securior Sdn Bhd sebelum beralih ke syarikat Security Force Sdn Bhd.

"Di situ, saya kutip pengalaman selama tempoh tujuh tahun sebelum ambil keputusan buka syarikat kawalan keselamatan sendiri,” katanya.

Ingin majukan diri

Demi memajukan diri, beliau nekad membuka syarikat kawalan keselamatan di samping melihat potensi perkhidmatan kawalan keselamatan berpotensi luas.

“Setelah beberapa tahun menimba ilmu dalam bidang ini, menambahkan keyakinan saya untuk maju setapak lagi menguruskan perniagaan.

"Saya berkongsi pendapat dan pandangan dengan rakan kongsi. Akhirnya kami sepakat tubuhkan syarikat pada 2007 sebelum memulakan permohonan mendapatkan lesen daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya yang mengakui permulaan modal adalah cabaran memulakan perniagaan yang diterajuinya.

Memberitahu lanjut, katanya, dia melihat perkhidmatan kawalan keselamatan masih diperlukan oleh masyarakat walaupun dalam keadaan baik ataupun kurang baik.

“Ancaman, dan kecuaian masih ada berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Kita tidak boleh bergantung harap kepada pihak polis semata-mata dalam menjaga dan memelihara keselamatan dan keamanan.

“Jadi, di sinilah perkhidmatan pengawal keselamatan membantu menjadi ‘second layer’ di mana mampu bersama-sama menjaga keselamatan kepada negara juga masyarakat.

Syarikat turut tawar pengawal peribadi

Mohd Rapi berkata, syarikat telah memperoleh surat kelulusan lesen kawalan keselamatan daripada KDN pada 5 Ogos 2010 dan sijil kelulusan pada 2 September 2010.

"Perkhidmatan yang ditawarkan ialah kawalan keselamatan tanpa senjata (194 anggota) dan kawalan keselamatan bersenjata (14 anggota). Kapasiti semasa boleh menawarkan 40 anggota yang bersedia bertugas pada bila-bila masa.

"Pihak syarikat turut menawarkan perkhidmatan terbaHAru iaitu pengawal peribadi bersenjata dan ia dikawal selia oleh pengurusan  berpengalaman.

"Kesemua calon pengawal peribadi yang ada, adalah terlatih dan telah mengikuti latihan ‘Certified Security Guard’ (CSG) dikendalikan  Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM),” katanya.

Menurutnya, dia melihat belum ada lagi syarikat kawalan keselamatan menawarkan perkhidmatan pengawal peribadi, justeru tercetusnya idea bagi memperluaskan lagi segmen perkhidmatan kawalan keselamatan.

Tambahnya, permintaan di pasaran memang ada, namun masyarakat tidak tahu di mana boleh peroleh perkhidmatan kawalan keselamatan peribadi dan di Xceed Security Sdn Bhd ada menyediakan untuk keperluan golongan sasaran.

Guna duit sendiri

Katanya, kejayaan yang diperoleh kini, tidak semudah disangka.

"Ada satu ketikanya, saya terpaksa mendahulukan duit sendiri untuk membayar gaji kakitangan sebelum perkhidmatan kawalan keselamatan yang ditawarkan syarikat ini betul-betul beroperasi.

"Tapi, Alhamdulillah berkat kecekalan dan ketabahan selama ini segalanya membuahkan hasil.  

"Bagi tempoh 10 tahun akan datang, saya mahu mengangkat syarikat kawalan keselamatan saya ini antara yang terbaik dan dikenali di pasaran serta dapat memberi kerjaya dan pendapatan yang baik kepada anggota berkhidmat," katanya.