RANGKAIAN peruncitan dan pemborongan terbesar, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) meluaskan pilihan kaedah pembayaran kepada pelanggannya menerusi transaksi tanpa tunai dengan aplikasi dompet mudah alih tempatan, Boost, mulai hari ini.

Kerjasama kedua-dua pihak itu mencetus revolusi dalam pengalaman membeli-belah kelengkapan rumah di Malaysia dengan menawarkan akses mudah kepada keperluan harian melalui telefon mudah alih.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, kaedah itu boleh digunakan di semua 75 gedung borong dan runcit Mydin di seluruh negara termasuk rangkaian kedai premium milik syarikat tersebut, SAM's Groceria.

"Dengan lebih 75,000 transaksi di gedung-gedung kami setiap hari, kami berbesar hati untuk menawarkan satu pilihan yang lebih mudah dan cepat untuk pelanggan kami.

"Kami ingin menerapkan penggunaan dompet mudah alih dengan Boost untuk mencipta tanggapan yang kuat terhadap jenama Mydin terutamanya dalam kalangan pengguna muda. Kami yakin langkah ini akan memajukan lagi perniagaan kami," katanya selepas pelancaran kerjasama antara Boost dan Mydin, di sini, hari ini.

Ameer berkata, kerjasama itu turut memberi peluang kepada pelanggan yang juga pemegang kad kesetiaan Meriah Mydin untuk menikmati ganjaran lain daripada Boost, selain dari gedung berkenaan.

"Ia sekali gus menggalakkan pelanggan untuk menggunakan transaksi tanpa tunai, seiring dengan perubahan dunia digital masa kini.

"Katakan baki tidak cukup dalam akaun aplikasi Boost, pelanggan masih boleh membuat pembayaran selebihnya dengan tunai atau kad debit atau kredit," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Christopher Tiffin berkata, jaringan peniaga dalam aplikasi itu semakin berkembang dengan kehadiran Mydin untuk melaksanakan pendigitalan, sekali gus mengukuhkan lagi usaha Boost ke arah masyarakat tanpa tunai.

"Pada zaman digital ini, telefon pintar memainkan peranan penting untuk mengurus komunikasi dalam kehidupan peribadi mahupun di tempat kerja. Maka, tidak hairanlah kalau ia juga memainkan peranan sebagai dompet.

"Peralihan itu akan memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih sempurna dan selamat, tanpa perlu risau dengan masalah tunai di tangan yang tidak mencukupi. Tambahan pula, ia dapat membantu kita mengurus dan menjimatkan perbelanjaan bulanan secara kolektif sambil menerima bayaran balik pada masa yang sama," katanya.

Menurutnya, Boost kini mempunyai lebih tiga juta pengguna sehingga hari ini dan terdapat di 35,000 lokasi di seluruh negara termasuk tempat-tempat popular seperti pasar malam, trak makanan, kedai-kedai makanan dan minuman (F&B) utama, gedung runcit serta platform beli-belah dalam talian.

Aplikasi Boost boleh dimuat turun oleh pengguna Android dan iOS masing-masing dari Play Store dan App Store secara percuma.