KUALA LUMPUR – Bank Rakyat baru-baru ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama dua institusi pengajian tinggi (IPT), Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (Kitab).

Kerjasama dengan dua institusi pengajian itu merupakan inisiatif Bank Rakyat bagi membantu dan menyokong pelajar yang berkelayakan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti bidang pengajian Islam dan psikologi.

Selain itu, kerjasama itu juga merupakan tanggungjawab sosial korporat Bank Rakyat berkongsi dengan  masyarakat bagi pembangunan pendidikan dan kebajikan golongan yang memerlukan.

Pada masa sama, inisiatif itu turut menyumbang kepada pembangunan modal insan negara serta melahirkan masyarakat berkemahiran tinggi.

Kerjasama dengan dua institusi pengajian itu merupakan inisiatif Bank Rakyat bagi membantu dan menyokong pelajar yang berkelayakan menyambung pengajian.

MoA bersama Usas ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi (Operasi Perbankan) Bank Rakyat, Datuk Asmuni Sudin bersama Ketua Pematuhan Syariah Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak dan Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan Usas Anas Md. Yusof pada 29 Ogos lalu.

Sementara itu, pada 4 September, MoA bersama Kitab turut ditandatangani Asmuni bersama Mohd Zamerey dan Rektor Kitab, Datuk Dr. Mustapa Kassim.