BANK Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus, menerusi keputusan dibuat Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan BNM, ekonomi dunia terus berkembang dan momentum pertumbuhan perdagangan global kekal kukuh walaupun prestasi pertumbuhan yang berbeza merentas negara.

“Peningkatan pendapatan dan sokongan dasar di negara-negara maju, khususnya di Amerika Syarikat, akan terus memacu pertumbuhan. Pertumbuhan di Asia akan disokong oleh aktiviti dalam negeri dan permintaan luar negeri yang kukuh.

“Bagaimanapun, terdapat perkembangan yang menunjukkan risiko terhadap prospek pertumbuhan. Ketegangan perdagangan global yang semakin ketara boleh mempengaruhi sentimen dan memberikan kesan terhadap perdagangan, pelaburan dan penggunaan.

“Tambahan lagi, berikutan langkah negara-negara maju mengembalikan dasar monetari ke tahap yang wajar, jangkaan dan sentimen pelabur yang berubah-ubah boleh mengakibatkan aliran keluar modal yang berterusan dan pelarasan pasaran kewangan dalam beberapa ekonomi sedang pesat membangun,” lapor kenyataan itu.

Memetik kenyataan tersebut, ekonomi Malaysia terus berkembang pada separuh tahun pertama 2018, disokong oleh aktiviti sektor swasta serta rangsangan tambahan daripada eksport bersih.

“Prestasi pertumbuhan yang positif dijangka terus mampan, didorong oleh permintaan dalam dan luar negeri. Penggunaan swasta akan disokong oleh peningkatan yang berterusan dalam upah dan guna tenaga, dengan sokongan tambahan daripada perbelanjaan isi rumah yang lebih tinggi ekoran kelepasan cukai.

“Aktiviti pelaburan dijangka mendapat sokongan daripada penambahan kapasiti pengeluaran, terutamanya oleh industri berorientasikan eksport dan projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan khususnya dalam subsektor pengangkutan dan utiliti.

“Sektor luaran akan terus mendapat manfaat daripada momentum pertumbuhan global yang terus mampan. Prospek pertumbuhan negara akan menjadi bertambah baik apabila dasar dalam negeri yang semakin jelas pada bulan-bulan yang akan datang.

“Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh.

Tambahnya, inflasi keseluruhan bagi tahun 2018 dijangka lebih rendah daripada unjuran yang dibuat sebelum ini selepas mengambil kira kesan langkah-langkah dasar baru-baru ini terhadap faktor kos domestik. Walau bagaimanapun, kesan langkah-langkah tersebut ke atas inflasi dijangka bersifat sementara.

“Inflasi keseluruhan mungkin mencatat pertumbuhan negatif dalam beberapa bulan dan kekal rendah pada separuh pertama tahun 2019 sebelum meningkat semula berikutan luputnya kesan faktor-faktor sementara ini.

“Namun begitu, inflasi teras dijangka kekal stabil secara relatif, sejajar dengan permintaan dalam negeri yang mampan.

Katanya, prospek ekonomi dalam negeri yang positif, sektor kewangan yang teguh dan lebihan akaun semasa imbangan pembayaran yang semakin meningkat akan terus menyokong asas-asas ekonomi Malaysia.

“Pasaran kewangan domestik kekal berdaya tahan meskipun terdapat aliran keluar portfolio bukan pemastautin. Kadar pertukaran ringgit akan lebih mencerminkan asas-asas ekonomi apabila ketidakpastian luaran dan domestik berkurang.

“Meskipun terdapat volatiliti pasaran kewangan yang ketara, keadaan monetari dan kewangan domestik terus menyokong pertumbuhan ekonomi. Operasi monetari Bank Negara Malaysia terus memastikan bahawa terdapat mudah tunai yang mencukupi bagi menyokong pasaran wang dan pertukaran asing serta aktiviti pengantaraan untuk berfungsi dengan teratur.

“Pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif dasar monetari adalah sejajar dengan pendirian dasar yang ditetapkan. MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi,”katanya.