BANK Muamalat Malaysia Berhad meletakkan sasaran peningkatan sehingga 20 peratus ke atas penjualan Akaun Muamalat Gold-i (MGi) dan Akaun Muamalat Gold-i Fizikal pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, Bank yakin permintaan pelaburan emas akan semakin meningkat dan berdasarkan tempoh dua tahun sebelum ini, Bank sudah pun jual 500 kilogram (kg) jongkong emas dengan nilai RM90 juta.

“Sebanyak 32,000 pemenang akaun telah bersama dengan kami untuk tempoh dua tahun itu.

“Jadi kami merancang untuk memperluaskan perniagaan menerusi produk pelaburan emas ini yang merupakan alternatif kepada penyimpan untuk membuat pelaburan,” katanya pada Penyampaian Hadiah Untuk Pemenang Utama Kempen Akaun Simpanan Oh Yeah! Hartawan Emas di Ibu Pejabat Bank Muamalat di Kuala Lumpur, semalam.

MGi menawarkan pelaburan serendah RM10 @satu gram emas yang berlandaskan syariah di negara ini.

Sementara itu, bercakap mengenai Kempen Akaun Simpanan Oh Yeah! Hartawan Emas, katanya, kempen ini telah berjalan selama tujuh bulan bermula 8 September 2017 hingga 30 Mac lalu.

“Kempen ini menawarkan ganjaran menarik sejumlah 6080 gram bar emas bernilai lebih RM1 juta dalam bentuk 10 gram bar emas bercetak untuk 308 pemenang bulanan dan 1kg bar emas untuk setiap tiga pemenang utama.

“Jadi pada hari ini, kami menyampaikan hadiah kepada para pemenang utama kempen tersebut. Mereka dipilih melalui cabutan bertuah.

“Mereka adalah, Norzila Md Din dari cawangan Johor Bharu; Abdul Kadier Sahib dari cawangan Bintulu dan Ariffin Sharif dari cawangan Jalan Melaka, Kuala Lumpur.

“Pastinya dengan kejayaan pemenang-pemenang ini, kami akan meneruskan kempen tersebut di masa akan datang,” katanya.

Penyampaian telah disempurnakan Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Datuk Dr Mohamed Munir Abd Majid.