KUALA TERENGGANU – Semua bangunan pusat pengajian tahfiz dan pondok di negeri ini berisiko dari segi keselamatan susulan tiada sijil layak menduduki (CF).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Azlimin Mat Noor berkata, sehingga kini pihaknya belum memperoleh sebarang permohonan daripada pihak terlibat untuk mendapatkan sokongan CF.

“Kita menggalakkan semua bangunan mendapat CF. (Bagi bangunan yang telah siap tanpa CF) Perkara ini boleh dibincangkan supaya bangunan tersebut menepati (dari aspek keselamatan),” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya rancak mempergiatkan usaha melalui kesedaran awam khususnya di institusi pendidikan tersebut yang berdaftar sebagai skuad bomba.

“Buat masa ini, 47 buah sekolah tahfiz dan pondok yang berdaftar sebagai skuad bomba. Kita sentiasa berusaha memberi penerangan, latihan kebakaran, pelepasan kecemasan bagi mengurangkan perkara yang boleh menyebabkan berlaku kebakaran serta aspek pemeriksaan keselamatan.

“Ia bertujuan supaya pelajar-pelajar dapat melepaskan diri dengan cepat sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa keadaan masih terkawal di Terengganu dan tiada sebarang kes kecemasan atau kebakaran dilaporkan dalam tempoh lima tahun di sekolah tahfiz atau pondok.

Sementara itu, berhubung insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, beliau turut menasihatkan semua pihak termasuk pengurusan di institusi pondok dan tahfiz memantau penggunaan bekalan elektrik dan bahan mudah terbakar.

Katanya, penghuni juga perlu memastikan soal keselamatan diberi perhatian serius bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Kita minta supaya penghuni berhati-hai dalam penggunaan bahan-bahan yang boleh mencetuskan kebakaran seperti penggunaan elektrik dan pihak pengurusan perlu memastikan perkara tersebut juga dipantau,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti 12,649 pegawai dan anggotanya di seluruh negara melalui penjadualan semula tugas sebagai persiapan menghadapi banjir.
  • TEMERLOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah melakukan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas 702 daripada 2,428 pusat pengajian Islam di seluruh negara.
  • CAMERON HIGHLANDS - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memerlukan masa sekurang-kurangnya sebulan bagi membuat pemeriksaan dan mengesan permasalahan semua Maahad Tahfiz berdaftar di seluruh negara.
  • MANONG - Seorang lelaki 24 tahun beliau berdepan situasi mencemaskan apabila kakinya tersangkut ketika memanjat sebatang pokok setinggi lebih tiga meter, di sini hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.