Apabila bercakap mengenai parti atau majlis hari jadi terutamanya untuk kanak-kanak, pasti perkara pertama yang terlintas di minda adalah dekorasi menggunakan belon. Sama ada digunakan untuk dekorasi ataupun untuk aktiviti permainan, belon tetap menjadi antara elemen penting yang perlu ada dalam sesebuah majlis meraikan sambutan hari jadi.

Ibu bapa hari ini, dilihat lebih cenderung meraikan sambutan hari jadi anak mereka. Mungkin gaya hidup moden menjadi faktor yang mendorong ibu bapa kini mengadakan majlis seumpamanya selain sebagai salah satu cara menunjukkan rasa kasih kepada anak tersayang.

Tawar tiga perkhidmatan sampingan

Melihat kepada budaya ini, Balloon Bouquets Sdn Bhd mengambil inisiatif membuka kedai di bawah jenama Balloon Buzz Party Centre, yang menyediakan pelbagai keperluan untuk sambutan majlis hari jadi.
Pengarahnya, Hew Yoon Loong berkata, selain memberi idea kepada orang ramai bagaimana untuk menghias sesebuah majlis, kedai ini turut menyediakan perkhidmatan sampingan lain termasuk persembahan secara langsung, hiasan majlis dan istana belon udara (castle & bouncers).

“Secara dasarnya, asas pernia­gaan ini adalah untuk kanak-kanak, di mana kedai ini berkonsepkan penyediaan majlis. Jika kita lihat, majlis sambutan hari jadi khususnya disambut oleh semua masyarakat tanpa mengambil kira budaya masing-masing.

“Bagaimanapun, kumpulan sasaran kami adalah golongan ibu, kerana biasanya ibu yang lebih mengambil berat dalam menguruskan hal sebegini jika dibandingkan dengan kaum bapa,” katanya.
Menyingkap kembali sejarah penubuhan perniagaannya, Yoon Loong berkata, Balloon Bouquets Sdn Bhd bermula sekitar 1996 apabila isterinya, Coleen Koh, menjalankan perniagaan menghias belon untuk majlis hari jadi hanya dari rumah.

Optimis kembang niaga

Pada ketika itu, kerja menghias belon dilakukan secara sambilan kerana Yoon Loong dan isterinya mempunyai kerja tetap dan mereka sering menghabiskan waktu di luar rumah.

“Berbekalkan sebuah bilik kecil dan sebuah kenderaan Pajero lama, isteri menghantar tempahan diterima kepada pelanggan. Oleh kerana sambutan diterima positif, kami terfikir untuk menjalankan perniagaan ini dengan lebih serius, memandangkan pada masa itu tiada lagi perniagaan seperti ini di Malaysia.

“Setelah lima tahun menjalankan perniagaan dari rumah, pada 2002, kami membuka kedai pertama di Petaling Jaya dengan modal permulaan kira-kira RM100,000. Fokus kami adalah segalanya yang melibatkan belon,” katanya.

Pada 2005, Yoon Loong membuat keputusan berhenti kerja kerana ingin menumpukan perhatian terhadap perniagaan yang dibina. Pada masa sama, Yoon Loong mendaftarkan Balloon Bouquets sebagai perniagaan francais dan memiliki lesen pada 2006.

Sehingga kini, Ballon Buzz Party Centre mempunyai 12 cawangan di sekitar Lembah Klang seperti di Pavilion; 1 Utama Damansara; USJ Subang Jaya dan Wangsa Walk yang juga merupakan cawangan terbaru yang dibuka bulan lalu.

Menurut Yoon Loong, perniagaannya berkembang di atas pendapat pelanggan yang memberi idea untuk menjual produk baru di kedainya seperti lilin; topi; pinggan; kostum; dan sebagainya. Malah, sehingga kini, dia masih lagi belajar untuk memenuhi keperluan pelanggannya.

Bagi mendekatkan perniagaan dengan pelanggannya, Yoon Loong sentiasa mengemas kini laman sosial Facebooknya dengan pelbagai maklumat terkini dan gambar serta projek terbaru hiasan belon sesebuah majlis yang dihasilkannya.

Selari dengan perkhidmatan yang ditawarkan dalam menghias belon, setiap pekerja di sini akan diberikan kelas latihan mempelajari kaedah menggubah belon bagi memantapkan kemahiran sedia ada.

Biasanya, selepas menghadiri tiga sesi latihan, pekerja sudah mampu menghasilkan gubahan belon dalam jangka waktu yang pantas. Ada ketikanya juga, Yoon Loong akan menghantar pekerjanya ke luar negara bagi menghadiri kursus gubahan belon bersama penggubah belon yang mahir dalam bidang ini.

Bagi orang ramai yang berminat untuk menyertai kelas latihan ini pula, Yoon Loong bercadang membuka kelas ini kepada orang ramai sekitar Januari dan Februari tahun depan.
Bercita-cita teroka pasaran Indonesia

Seperti kebanyakan perniagaan lain, Yoon Loong turut berhasrat meluaskan perniagaan di luar Lembah Klang dan seterusnya ke luar Malaysia. Bagaimanapun, hasratnya dilihat akan menjadi kenyataan tidak lama lagi kerana dia akan membuka cawangan di Pulau Pinang, Johor dan Indonesia menjelang tahun depan.

Yoon Loong berkata, Indonesia menjadi pilihan kerana populasi penduduknya yang besar, di samping golongan pertengahan yang semakin bertambah dari sehari ke sehari, sesuai dengan kumpulan sasarannya.

Menurutnya, selain negara tersebut mempunyai potensi besar dalam bidang ini, ia juga merupakan cabaran peribadi untuknya bagi membawa jenama francais Malaysia ke negara orang, sekali gus meletakkan nama Malaysia di kelasnya tersendiri.