MINYAK pati strawberi sememangnya diketahui umum banyak digunakan dalam pelbagai produk kecantikan.

Selain itu, ia juga sering digunakan untuk aromaterapi dan juga lilin kerana mempunyai bau buah strawberi yang menenangkan.

Pun begitu, campuran minyak tersebut bersama minyak argan sebagai salah satu produk kecantikan belum pernah dihasilkan.

Terbaru, hasil penyelidikan dan ilmu yang dimiliki Adilla Zainuddin iaitu pengusaha Adillaz Skin Therapy di bawah syarikat Adillaz Prestige Resources, buat pertama kali, berjaya menemui formula untuk menggabungkan minyak pati strawberi dalam minyak argan.

"Kami memilih untuk menghasilkan produk kecantikan berasaskan minyak argan kerana kebaikannya dan sambutan terhadap produk daripada minyak argan itu semakin meningkat.

"Bukan dengan meniru apa yang orang lain telah hasilkan, tetapi saya menggunakan formula baru bagi menghasilkan produk sendiri dengan identiti sendiri iaitu Strawberi Argan Oil," katanya kepada Sinar Harian.

Pemilihannya untuk menggabungkan dua minyak itu kerana kebaikan pati strawberi dikatakan membantu mencerahkan kulit, membantu melambatkan proses penuaan dan masalah jeragat atau jerawat.

Justeru Adilla berkata, apabila digabungkan kedua bahan tersebut, ia memberikan tambah nilai kepada produk tersebut dalam membantu pengguna terhadap permasalahan kulit wajah masing-masing.

"Penambahan minyak pati strawberi juga, mewujudkan bau strawberi yang lebih menenangkan kepada pengguna berbanding hanya minyak argan semata-mata," katanya.

Jelasnya, selain dua kandungan utama itu, Strawberi Argan Oil juga adalah produk yang pertama mengandungi minyak pati nanas di dalamnya.

"Kami berani untuk menambah minyak pati itu, kerana melalui kajian dan pembacaan daripada jurnal, pati nanas yang jarang digunakan dalam produk kosmetik sebenarnya dapat membantu membuang sel kulit mati.

"Jadi ia gabungan terbaik kepada produk ini," katanya.

Proses R&D sendiri

Adilla yang pernah bekerja di Kementerian Kesihatan juga menekankan yang Strawberi Argan Oil tidak mengandungi campuran alkohol di dalamnya dan semua produk yang dihasilkan adalah buatan sendiri.

"Pengalaman bekerja di dalam makmal kementerian dan terlibat dalam operasi pemberian sijil halal kepada pengusaha, sedikit sebanyak memberikan panduan kepada saya untuk menghasilkan produk secara sendiri.

"Kami ada pusat pemprosesan sendiri dengan mesin dan alatan seperti di dalam makmal untuk menghasilkan pelbagai produk pada kuantiti tertentu mengikut permintaan," katanya.

Mengulas mengenai proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang dilakukan untuk produk tersebut, Adilla berkata, dia mengambil masa dua bulan untuk melakukan proses tersebut sebelum produk itu dijual di pasaran bermula Ogos tahun lalu.

"Mungkin ada meragui masa yang saya gunakan untuk R&D itu, terlalu singkat, tetapi ia memang benar kerana pengalaman menghasilkan beberapa produk sebelum ini memudahkan saya untuk menghasilkan produk baharu.

"Dari segi pemilihan pati strawberi itu juga, ketika R&D kami menggunakan minyak kernel strawberi yang sedikit murah berbanding jenis pati yang lain, tetapi kebaikannya dari segi resapan lebih cepat seterusnya selesa apabila digunakan," katanya.

Adilla nyata bersyukur hanya sekali R&D yang dilakukan, formula digunakan menepati kandungan yang diingini dan produknya mendapat maklum balas positif daripada pengguna.

Tidak kejar keuntungan

Menurut Adilla, beliau tidak menetapkan sasaran untuk jualan produk tersebut, sebaliknya lebih mahu berkongsi manfaat dengan orang ramai.

"Kami bukan mementingkan profit, tetapi keberkesanan produk itu lebih utama dan kami juga tidak jual produk ini secara borong bagi mengelak peniruan.

"Sehingga kini, dalam masa sebulan jualan produk dianggarkan 100 ke 200 unit terjual, mungkin di masa akan datang sebulan boleh capai 300 sebulan," katanya.

Adilla berkata, pihaknya menyasarkan penjualan produk itu kepada mereka yang menyukai produk semula jadi antara umur 20 tahun ke 45 tahun dan juga sesuai untuk mereka yang ada masalah kulit, termasuk kanak-kanak.

"Dari segi penggunaan pula, dua titis pagi dan dua titis malam yang disapukan di keseluruhan wajah.

"Kemudian urut secara perlahan untuk kesan resapan lebih menyeluruh.

"Boleh juga digunakan secara terus atau di campur dengan bedak asas untuk kesan lebih menarik pada solekan," katanya.

Setiap botol Strawberi Argan Oil (30 ml) boleh diperoleh pada harga RM65 untuk Semenanjung dan RM69 untuk Sabah serta Sarawak.