RAMAI usahawan beranggapan memiliki aplikasi mudah alih sendiri adalah mahal sehingga menyebabkan ramai di antaranya tidak berani melaburkan sejumlah wang bagi tujuan berkenaan.

Bukan itu sahaja, tidak mempunyai kemahiran mengurus kemudahan teknologi itu juga menjadi halangan syarikat tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menyedari masalah itu, Firdaus Ismail mengilhamkan satu platform yang bakal membantu, sekali gus memudahkan usahawan untuk memiliki aplikasi mudah alih yang mesra pengguna dengan harga yang berpatutan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, SME Cloud Sdn Bhd (SME Cloud) itu berkata, dia mengambil masa hampir dua tahun bagi membina platform tersebut.

Firdaus berkata, pengalaman bekerja dengan tiga syarikat multinasional antarabangsa dalam bidang teknologi maklumat (IT) banyak mengajarnya untuk menghasilkan produk berkenaan.

"Semuanya bermula pada 2011 apabila saya terlibat dalam projek membuat aplikasi mudah alih di syarikat pembekal IT.

"Ketika itu, aplikasi mudah alih di Malaysia masih belum berkembang," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di pejabatnya yang terletak di Taman Teknologi Park (TPM), baru-baru ini.

Bermula dari situlah dia memulakan kajian dan perancangan sebelum melepaskan jawatan yang disandangnya ketika itu.

Katanya, setelah platform itu siap dia menguji aplikasi mudah alih itu kepada tiga syarikat tempatan terlebih dahulu.

"Hanya selepas mendapati ia benar-benar boleh digunakan dan melihat ia mempunyai potensi untuk diketengahkan.

"Barulah saya menubuhkan syarikat untuk memperkenalkan aplikasi mudah alih kepada PKS," katanya.

SME Cloud Sdn Bhd, syarikat inkubator di Inovasi Pusat Inkubator TPM itu ditubuhkan bersama dua lagi rakan kongsi dengan modal permulaan lebih RM200,000.

Aplikasi mesra pelanggan

Graduan Universiti Asia Pasifik dalam bidang IT itu berkata, aplikasi mudah alih ini akan memberi meningkatkan kredibiliti kepada usahawan.

"Pelanggan akan melihat syarikat itu serius menjalankan perniagaan, sekali gus membina keyakinan kepada pelanggan," ujarnya.

Katanya, aplikasi itu juga dibina dengan ciri-ciri mesra pengguna bagi memudahkan komunikasi antara pengguna dan peniaga.

Selain daripada memberi pemberitahuan terhadap promosi atau program serta acara yang dianjurkan oleh syarikat, aplikasi mudah alih ini juga mempunyai ciri-ciri tambahan lain seperti kad kesetiaan, kupon GPS, membuat temu duga dengan pakar pergigian dan membuat tempatan rumah rehat atau chalet yang ditawarkan.

Miliki lebih 700 pelanggan

Firdaus berkata, sejak tiga tahun ditubuhkan SME Cloud mempunyai pelanggan lebih daripada 700 syarikat tempatan dan agensi kerajaan.

Katanya, jumlah itu masih sedikit berikutan masih ada di kalangan syarikat yang masih tidak terdedah dengan teknologi maklumat (IT) khususnya tentang perniagaan dalam talian (online).

"Ini adalah antara cabaran kami, kami akan memberi latihan atau kursus kepada syarikat-syarikat ini terlebih dahulu sebelum mula bergiat dengan aplikasi mudah alih.

"Oleh itu pendedahan terhadap IT adalah penting bagi menyediakan syarikat baharu," katanya.

Firdaus berkata, Malaysia mempunyai lebih 600,000 syarikat yang berdaftar dan jumlah itu adalah sangat rendah.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan untuk menguasai sekurang-kurangnya lebih daripada 10 peratus syarikat berkenaan.

Bagi sasaran tahun hadapan, Firdaus berkata, pihaknya menyasarkan untuk menambah 1,000 lagi syarikat yang menggunakan aplikasi berkenaan.

"Bagi menarik lebih ramai syarikat membina aplikasi mudah alih sendiri, kami menawarkan harga promosi RM999 (yuran langgan) tanpa kos pembinaan sehingga akhir tahun ini.

"Ia adalah jauh lebih berbeza dengan harga biasa iaitu RM2,188 termasuk kos pembinaan dan yuran akses selama setahun," katanya.

Bukan itu sahaja, SME Cloud juga mengalu-alukan mana-mana persatuan perniagaan yang berminat untuk bekerjasama bagi membina aplikasi berkenaan dengan tawaran harga yang istimewa.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PLATFORM aplikasi dalam talian, imSold! yang membolehkan pengguna menjual dan membeli barangan, semakin berkembang sejak dilancarkan tahun lalu.
  • PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak telah melancarkan satu aplikasi peranti pintar semalam.
  • BERIKUTAN tahap pengurusan kewangan yang rendah di kalangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya Bumiputera, sebuah syarikat tempatan, Bina Pavo Data Intelligence Sdn Bhd tampil membangunkan satu aplikasi yang mudah digunakan dalam pengurusan kewangan seharian.
  • PERSATUAN Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users) percaya harga seunit boleh manfaatkan pengguna, selain bijak dalam berbelanja barangan keperluan harian dengan SmartShopper Malaysia.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.