ISU keselamatan membabitkan kanak-kanak sering kali menjadi kebimbangan ibu bapa, terutamanya dalam dunia semasa yang semakin mencabar.

Malah setiap masa, kita dihidangkan dengan pelbagai kes kehilangan kanak-kanak dan jenayah melibatkan golongan ini sehingga membimbangkan masyarakat.

Pantauan semata-mata tidak mencukupi memandangkan mereka mudah terdedah dengan pelbagai risiko terutamanya ketika berada di persekitaran luar.

Bagi menangani kebimbangan golongan ibu bapa ini, Alvina Solution tampil dengan evolusi terkini, menggunakan aplikasi di telefon bimbit sebagai penjejak di mana lokasi anak berada.

Gabungan kesihatan dan keselamatan

Menurut Pengasasnya, Siti Salbiah Md Othman,35, idea menghasilkan aplikasi Q-Trex merupakan usahasama dengan rakan kongsi yang juga Pakar IT berpengalaman, Mohd Ridzman Azzahari, 34.

Katanya, ia sebahagian daripada kempen jenayah siber yang dijalankan oleh Mohd Ridzman di sekolah seluruh negara dengan mengabungkan soal kesihatan dan keselamatan.

“Alvina mengeluarkan produk nutrisi, dikenali Q-Harit’Z. Ia merupakan makanan tambahan terbaik yang dapat membantu anak-anak dalam proses perkembangan fizikal dan minda.  

“Jadi kita gabungkan kedua-duanya, Q-Haritz sebagai kesihatan dan Q-Trex sebagai keselamatan pada setiap kempen jenayah siber yang dijalankan,” ujarnya.

Salbiah berkata, inisiatif yang digerakkannya itu sebagai galakkan kepada masyarakat dan ibu bapa di luar untuk lebih waspada dan prihatin mengenai keselamatan anak-anak mereka.

“Dengan setiap pembelian Q-Harit’Z, ibu bapa boleh menikmati aplikasi Q Trex ini secara percuma sahaja,” katanya sambil menambah aplikasi ini boleh dimuat turun hanya melalui PlayStore pada ketika ini.

Bagaimanapun, aplikasi ini boleh dibeli berasingan pada harga RM30 sahaja dan wang itu akan digunakan semula bagi membiayai program jenayah siber di sekolah.

“Buat masa ini kita sedang menunggu kelulusan daripada App Store pula. Jika tiada halangan, kita akan pasarkan aplikasi ini dengan lebih meluas,” katanya.

Tambahnya, menjadi satu keperluan pada masa ini untuk ibu bapa terutamanya yang sibuk bekerja dan tiada masa dengan anak-anak mendapatkan aplikasi ini.

“Fokus kita adalah soal keselamatan anak-anak. Sekurang-kurangnya ia satu pelaburan oleh ibu bapa bagi menghindar anak-anak daripada jenayah dan terlibat dengan aktiviti luar yang tidak sihat,” katanya.

Mudah digunakan

Menjelaskan mengenai aplikasi Q-Trex, Mohd Ridzman berkata, ia dibangunkan sebagai pengesan lokasi di telefon pintar untuk ibu bapa memantau keselamatan anak-anak.

Ujarnya, telefon bimbit menjadi keperluan dewasa ini dan kebanyakkan daripada ibu bapa menyediakannya untuk kemudahan anak-anak.

“Ada ketikanya anak-anak akan memaklumkan ke mana mereka pergi dan sebagai ibu bapa kita meletakkan kepercayaan kepada mereka.

“Tetapi ada kalanya mereka akan pulang lewat mahupun ke lokasi lain tanpa makluman dan itu membimbangkan ibu bapa. Jadi aplikasi ini membantu ibu bapa untuk pantau ke mana lokasi anak-anak berada,” katanya.

Menurut Mohd Ridzman, aplikasi itu mudah digunakan dan sebaik sahaja di muat turun, ke mana sahaja anak-anak berada lokasi mereka akan dikemas kini setiap minit, walaupun berada di dalam bangunan.

“Selain telefon bimbit ibu bapa, aplikasi ini perlu dimuat turun ke telefon bimbit anak-anak. Tetapi aplikasi itu tersembunyi tanpa pengetahuan anak dan tidak boleh dipadam begitu sahaja,” katanya.

Ujar Mohd Rifdzman, penggunaannya sangat mudah untuk ibu bapa dan boleh digunakan bagi memantau sekurang-kurangnya 10 telefon bimbit anak-anak.

“Katakanlah ibu bapa ini mempunyai anak yang ramai, jadi dia boleh memuat turun aplikasi ini di setiap telefon bimbit anak-anaknya untuk pantauan,” katanya.

SOS ketika kecemasan

Menjelaskan lanjut, Mohd Ridzman berkata, pihaknya kini dalam fasa kedua melancarkan SOS dalam aplikasi Q-Trex tersebut.

Katanya, SOS dalam aplikasi itu berfungsi bagi membantu pemilik telefon bimbit ketika kecemasan tanpa perlu membuat panggilan ke 999.

“Kini dalam fasa kedua sebelum ia boleh dilancarkan. Apabila berlaku kecemasan ketika berseorangan, pengguna hanya perlu menekan butang di telefon bimbit sebanyak tiga kali.

“Secara automatik, lokasi itu akan dihantar ke telefon bimbit ibu bapa menyatakan anda dalam kecemasan. Selain itu, SOS ini juga merekod paras bateri telefon bimbit dan rakaman perbualan juga boleh diketahui.

“Ia bukan sahaja membantu anak-anak tetapi boleh diperluaskan untuk kegunaan banyak pihak,” katanya.

Berkongsi pengalaman, Mohd Ridzman mahu masyarakat membuka mata terhadap jenayah siber, yang boleh menyebabkan kanak-kanak terlibat.

“Apa punca kanak-kanak boleh terlibat dengan jenayah siber? Ia disebabkan oleh ibu bapa sendiri. Pendedahan terlalu awal terhadap teknologi, memberikan kesan tidak bagus mengenai perkembangan mereka.

“Meskipun tidak boleh dielakkan, sekurang-kurangnya pantauan terhadap aktiviti telefon bimbit anak-anak perlu dilakukan.

“Maka, pemantauan oleh ibu bapa ini boleh dilakukan sedari awal, sedari anak-anak mula mempunyai telefon bimbit,” ujarnya.