Persoalan:

Seorang eksekutif di sebuah syarikat bercadang berhenti kerja bagi menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap perniagaan aiskrim yang sebelum ini diusahakan secara sambilan dengan mengambil tempahan majlis-majlis keraian yang berlangsung pada hujung minggu.

Dengan pendapatan makan gaji ribuan ringgit setiap bulan, menjadikannya kurang yakin ceburi bidang usahawan sepenuhnya.

Justeru, apakah aspek pengurusan dalam perniagaannya yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu sebelum ambil keputusan berhenti kerja.

Jawapan:

Tidak ada jawapan hitam putih bagi soalan ini.

Di antara perkara yang penting untuk diambil kira ialah saiz pasaran aiskrimnya. Oleh kerana dia sudah berniaga secara sambilan tentunya dia boleh menganggar berapakah jualan tambahan yang boleh dibuat jika dia menumpukan perhatian sepenuh masa.

Siapakah pelanggan tambahan tersebut, bagaimana mahu aiskrim sampai kepada mereka dan cukupkah pulangannya untuk menampung gaji yang dilepaskan apabila dia berhenti kerja.

Eksekutif tersebut kena ada cadangan bagaimana perniagaannya hendak diperbesarkan seperti penambahan pengeluaran, pengedaran, modal kerja tambahan dan bilangan pekerja tambahan, jika perlu.

Perniagaan berskala lebih besar perlu diurus dengan cara berbeza dengan perniagaan kecil. Ini adalah kerana jumlah urus niaga dan transaksi yang besar memerlukan pengurusan lebih tersusun.

Ilmu tambahan seperti pemasaran, merekodkan transaksi kewangan, pengurusan sumber manusia akan membantu.

Jangan segan untuk meminta bantuan profesional seperti daripada akauntan, jika perlu.

*** Penulis: Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, pengasas Inovastra Capital Sdn Bhd.