ISI rumah yang mengakses internet meningkat 15.6 mata peratusan kepada 85.7 peratus pada 2017 berbanding 70.1 peratus pada 2015.

Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan berkata, isi rumah yang mempunyai komputer dan telefon mudah alih menokok, masing-masing kepada 74.1 peratus dan 98.1 peratus berbanding 67.6 peratus dan 97.9 peratus pada 2015.

Ketua Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata antara  aktiviti Internet yang paling digemari ialah Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya (86.3 peratus); muat  turun imej, filem, video atau muzik; bermain atau muat turun aplikasi permainan (81.2 peratus); mendapatkan maklumat tentang barangan atau perkhidmatan (80.4 peratus); serta muat  turun perisian dan aplikasi (74.5 peratus).

“Aktiviti lain ialah perbankan Internet (37.6 peratus), dan pembelian atau pesanan barangan serta  perkhidmatan (23.2 peratus),” katanya.

Peratusan individu yang menggunakan komputer juga meningkat kepada 69.8 peratus pada 2017 daripada 68.7 peratus pada 2015. Peratusan yang memakai telefon pintar bertambah sebanyak 0.2 mata peratus pada 2017 kepada 97.7 peratus daripada 97.5 peratus pada 2015.