PADA 23 Ogos lalu, saya berpeluang untuk mewakili MyBazar Malaysia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dalam sesi Inclusive Business di Bangkok bersama-sama wakil dari Filipina, Laos dan Thailand.

Ini adalah sebahagian daripada acara perniagaan sektor swasta yang dianjurkan oleh OECD, badan dunia yang berpangkalan di Paris, Perancis yang mempromosikan kemajuan ekonomi dan perdagangan dunia melalui perbandingan dasar antara negara. Sesi ini merupakan permulaan kepada Forum Serantau Asia Tenggara OECD yang berlangsung pada 24 Ogos di bandar sama.

Inti pati utama Inclusive Business adalah untuk mewujudkan peluang tanpa mengabaikan golongan yang berada di 'dasar piramid'.  Idea ini adalah untuk menyediakan barangan, perkhidmatan dan mata pencarian secara komersial secara menyeluruh. Inclusive Business menjadikan golongan berpendapatan rendah sebagai sebahagian daripada teras rantaian nilai perniagaan sebagai pembekal, pengedar, peruncit atau pelanggan.

Berbeza dengan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang hanya tertumpu kepada impak sosial, Inclusive Business adalah segalanya tentang membuat keuntungan yang mempunyai tujuan. Haluan utamanya adalah untuk menegaskan bahawa anda hanya akan mampu membantu orang lain secara berterusan sekiranya anda dapat menjana keuntungan untuk diri sendiri dan tentu saja; wang pelaburan untuk perkembangan perniagaan dan dengan itu, anda akan dapat membantu lebih ramai orang. 

Sebagai contoh, syarikat pengangkutan Indonesia – Gojek, membantu orang ramai untuk bergerak dari satu tempat ke satu destinasi dengan hanya menggunakan aplikasi mobil. Gojek telah berjaya mengubah ribuan penunggang motosikal di Jakarta kepada prasarana yang menguntungkan pelbagai pihak.

Syarikat yang bernilai jutaan dolar ini telah memberi kesan positif yang mendalam kepada masyarakat Indonesia dengan membantu golongan berpendapatan rendah untuk keluar dari kelompok kemiskinan serta mengurangkan kadar jenayah di samping memberi harapan baharu kepada mereka untuk meneruskan kehidupan. Tambahan pula, kadar trafik yang sesak di Jakarta menjadikan perkhidmatan seperi Gojek suatu keperluan dan bukan kemewahan.

Manakala Jollibee; salah satu daripada rangkaian makanan segera popular di Filipina, mendapatkan bekalan pertanian seperti ayam dan sayuran daripada petani dan peladang kecil-kecilan dari seluruh negara dan menjadikan mereka sebahagian daripada rangkaian pembekal utama. Dengan itu, Jollibee dapat membuat keuntungan di samping membantu petani dan peladang untuk sama-sama mendapat faedah dari amalan ini.

Contoh-contoh di atas membuktikan bahawa bantuan yang diberikan kepada golongan berpendapatan rendah mampu memberikan faedah kewangan yang baik akan tetapi ianya hanya akan dapat direalisasikan sekiranya dijalankan secara berkumpulan. Petani dan peladang kecil hanya akan dapat menuai faedah bersama jika mereka menjadi pembekal secara berkelompok. Pemuda-pemuda bermotosikal di Indonesia juga menubuhkan satu kumpulan pekerja untuk Gojek.

Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersatu untuk sama-sama kekal teguh melalui kerjasama yang mantap demi mencapai kejayaan yang lebih besar. Penambahbaikan diri di samping keinginan untuk memperbaiki orang lain adalah satu syarat penting dalam menjayakan Inclusive Business atau Perniagaan Menyeluruh ini.

Sebagai contoh, sekiranya saya adalah seorang usahawan keropok, saya hanya akan mendapat faedah yang minima jika mengamalkan penjualan secara individu, tetapi bayangkan faedah yang menanti sekiranya satu kelompok atau konsortium ditubuhkan untuk menjadi pembekal untuk satu kumpulan pembeli yang sama.

Di samping itu, konsortium ini juga dapat sama-sama berkongsi sumber pelaburan untuk pemasaran dan penyelidikan bersama. Hasilnya, satu peluang keemasan akan terbuka untuk semua melalui kapasiti yang lebih menyeluruh bagi menjalankan aktiviti eksport sekali gus membolehkan pasaran berkembang ke luar negara!

Ini merupakan salah satu matlamat utama MyBazar dalam kerjasama bersama usahawan tempatan melalui pembangunan alat digital demi meningkatkan mutu pasaran mereka. Sokongan kami bukan sekadar ke atas pertumbuhan perniagaan di dalam negeri malahan ke peringkat antarabangsa dengan menjalankan aktiviti eksport ke luar negara. Dengan pangkalan operasi di pelbagai negara, bermula dengan Arab Emiriah Bersatu dan Pakistan, usahawan MyBazar akan memperoleh peluang untuk mengeksport barangan mereka ke pasaran global melalui platform e-dagang yang kami sediakan.

 Saya berharap agar kita sama-sama memulakan perjalanan ini demi mewujudkan peluang baru untuk masyarakat setempat. Ayuh, kita mulakan sekarang.

Fazil Irwan Som,  Ketua Pegawai Eksekutif MyBazar Malaysia

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASANGAN suami isteri dari Taman Indah, di sini, yang mengusahakan pembuatan kuih karipap pusing sejak 20 tahun lalu, menjadi sebutan ramai lantaran air tangan mereka turut terjual lebih 2,000 keping setiap hari.
  • DALAM tempoh kurang tiga tahun, usahawan hebat ini mampu membina empayar perniagaan sendiri menerusi jenama Penawar Zauq yang kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat tempatan.
  • SEMUA perniagaan memerlukan pembiayaan. Peraturan yang paling asas dalam membiayai perniagaan adalah dengan memberi komitmen melalui wang simpanan sendiri atau sumber lain untuk berniaga.
  • MINDSET changer. ECRL yang baru dilancar minggu lalu adalah antara projek utama dalam Revolusi Pembangunan Selatan-Selatan. Seperti OBOR - One Belt One Road, ia tetap diterajui China. Semua ini kesinambungan dan limpahan daripada Agenda Pembangunan China.